Akhirnya Lee Kuan Yew berundur daripada Kabinet Singapura. Semua ini gara-gara imej Parti Tindakan Rakyat (PAP) tercalar ekoran kekalahan parti tersebut di enam buah kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Singapura baru-baru ini.

Walaupun mengikut perkiraan mudah, kekalahan enam kerusi daripada 87 kerusi tidak menggugat PAP untuk membentuk kerajaan, bagi Kuan Yew semua ini merupakan “isyarat” penting daripada pengundi yang harus segera difahami. Untuk rekod, inilah pencapaian terbaik pembangkang dalam sejarah Pilihan Raya Umum Singapura sejak 52 tahun dahulu.

Kuan Yew khuatir kehadiran dirinya sebagai Menteri Mentor menjadi antara salah satu punca kekalahan PAP di enam kerusi terbabit. Hal ini demikian kerana mungkin kebanyakan pengundi terutamanya pengundi muda mahupun perubahan dalam pucuk pimpinan pemerintah.

Lantas, Kuan Yew dan Goh Chok Tong (bekas Perdana Menteri Singapura yang dilantik menjadi Menteri Kanan), pada 15 Mei lalu mengundurkan diri daripada Kabinet Singapura demi memastikan parti pemerintah terus relevan dan diterima pengundi muda pada masa hadapan. Bahkan, beliau percaya bahawa sudah tiba masanya barisan menteri yang muda diamanahkan mendekati dan memahami generasi muda untuk masa hadapan Singapura yang lebih baik.

“Tiba masanya bagi generasi muda untuk membawa Singapura mahu ke hadapan dalam situasi sukar dan lebih rumit,” kata Kuan Yew semasa mengumumkan peletakan jawatan dirinya dan Chok Tong daripada Kabinet Singapura.

Mungkin Kuan Yew antara tokoh politik Singapura yang tidak disukai di Malaysia. Sikapnya yang bermulut celopar terutamanya ketika mengulas isu hubungan dua hala Malaysia-Singapura Kerap kali membangkitkan kemarahan sesetengah pihak di negara ini.

Namun, tindakannya berundur daripada Kabinet Singapura untuk memberikan peluang kepada “orang muda” memimpin negara singa itu wajar dihormati dan dicontohi. Hanya beberapa kerat pemimpin dunia yang berani bertindak sebegitu.

Malaysia juga boleh “belajar” daripada tindakan Kuan Yew. Kesediaan beliau memberikan ruang kepada pemimpin muda memimpin Singapura menunjukkan bahawa beliau sedar dengan tuntutan zaman.

Situasi yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia menghadapi situasi yang hampir sama dengan Singapura. Strategi DAP membariskan calon yang secara purata berumur 39 tahun menyaksikan DAP berjaya memenangi 12 kerusi – pencapaian terbaik DAP dalam sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak. Bahkan kemenangan calon DAP yang paling muda, Christina Chew, 27 tahun, dengan majoriti 543 undi di Batu Kawah mengejutkan banyak pihak.

Hakikatnya, rakyat sekarang terutama pengundi muda menuntut perubahan dalam kepemimpinan politik negara. Isyaratnya tertera jelas kelihatan di seantero dunia – dari Timur Tengah hingga ke Sarawak, kemudian menganjur ke Singapura. Jika ada pihak tidak memahami isyarat ini, semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, semuanya bakal diterangkan di kertas undi.

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.