Oleh ROHAIDAH MASHUDI dan J. SHAM WAHID

“Satu Malaysia” dan “Ganyang Malaysia”, antara contoh bahasa slogan yang memaparkan maksud yang positif dan negatif. Namun, maksud yang didukung sesuatu slogan itu sebenarnya mengikut keperluan dalam pembentukannya.

Kadangkala, slogan yang membawa maksud positif dikatakan membawa maksud negatif kepada pihak lain dan begitu juga sebaliknya. Oleh sebab itu, slogan juga mampu membangkitkan semangat yang “luar biasa” dalam sesebuah komuniti.

Pembentukan bahasa slogan yang kreatif juga mampu memberikan penjenamaan kepada sesuatu produk atau perkhidmatan seperti “Sehingga Menjilat Jari”, “Cepat, Cekap, Berkualiti”, “Mudah, Tepat, Cepat” dan “Tegas, Adil dan Berhemah”.

Dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, takrif slogan merujuk perkataan atau kalimat pendek yang menarik, mencolok dan mudah diingati. Di samping itu, slogan yang dibentuk juga menjelaskan ideologi yang dibawa oleh sesuatu kumpulan.

Secara umum, bahasa slogan yang terdapat dalam sesuatu komuniti digunakan sebagai alat perhubungan terutama untuk memaklumkan tentang sesuatu perkara kepada komuniti tersebut atau mungkin komuniti yang lebih luas. Malah bahasa slogan yang ringkas, kreatif, dan padat, sudah pasti membawa maksud yang mendalam sama ada yang tersirat atau tersurat.

Misalnya slogan “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Melalui slogan tersebut, satu komuniti yang besar dapat dikumpulkan walaupun mereka berada pada jarak yang jauh – inilah kekuatan yang ada pada slogan “1Malaysia”.

Pembentukan slogan mempunyai kaitan dengan salah satu ciri komuniti wacana, iaitu mempunyai tujuan bersama. Oleh sebab itu, dapat dilihat adanya kesesuaian dalam menggunakan istilah komuniti wacana dalam merujuk komuniti bagi sesuatu slogan yang dibentuk.

Malah, terdapat juga slogan yang dibentuk menjurus maksim pertalian atau harus relevan. Walaupun maksim ini menjurus penggunaan kata-kata atau ayat, dalam pembentukan slogan mungkin boleh dikaitkan dengan pertalian antara objektif penubuhan sesuatu komuniti dengan slogan yang dibentuk oleh komuniti tersebut.

___

Rohaidah Mashudi pensyarah Pusat Pengajian Teras dan Lanjutan (FOSEE), Universiti Multimedia dan J. Sham Wahid Guru Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Daun, Lorong Tun Fatimah, Melaka.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Jun 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.