Oleh ISMAIL IBRAHIM

Salah faham masyarakat terhadap kedudukan wanita dalam Islam begitu serius. Masyarakat Barat misalnya menganggap wanita dalam Islam sebagai makhluk yang tidak mempunyai roh, ditekan dan ditindas.

Persoalan kedudukan wanita dalam Islam sudah banyak diperkatakan oleh sarjana Islam. Misalnya seorang ulama Islam terkemuka, Shaikh Muhammad al-Ghazali, dengan nada penuh menyindir menegaskan bahawa Islam banyak memberikan kebebasan kepada wanita. Namun, permasalahan yang timbul berpunca daripada kejumudan pembicara dan pendukung Islam itu sendiri yang menyalahtafsirkan ajaran Islam tentang isu wanita ini.

Menurut Shaikh Muhammad al-Ghazali, al-Quran dan Sunah dengan jelas menyatakan bahawa lelaki dan wanita ibarat pesawat terbang yang terbang dengan dua sayapnya. Seandainya salah satu sayapnya itu rosak, bererti pesawat itu bakal terjunam ke tanah.

Mengikut hadis al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda bagi wanita yang pergi ke masjid, janganlah bersolek dengan melampau dan berpakaian yang mendedahkan aurat. Namun malangnya menurut Shaikh Muhammad al-Ghazali, terdapat pula segelintir ulama dalam huraiannya terhadap hadis alBukhari itu menjelaskan bahawa wanita yang hendak ke masjid haruslah memakai pakaian dapur yang berbau bawang dan bahan masakan yang lain. Malah, ada pula ulama lain yang menjelaskan bahawa wanita itu tidak seharusnya pergi ke masjid langsung!

Oleh sebab itu Shaikh Muhammad al-Ghazali bertanya, “Siapakah antara dua golongan pentafsir ini yang betul?” Dr. Yusuf al-Qaradhawi, seorang sarjana Islam terkenal yang dengan sikap keterbukaannya, bersependapat dengan Shaikh Muhammad al-Ghazali. Ketika beliau ditanya tentang peranan wanita dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), beliau menjelaskan bahawa kebangkitan media elektronik tidak dapat dipisahkan daripada penyertaan wanita kerana wanita merupakan sebahagian daripada masyarakat.

Beliau juga banyak memberikan contoh tentang peranan lelaki dan wanita yang seimbang dalam Islam. Misalnya, semenjak kejadian Adam yang merupakan bapa segala manusia, maka dijadikan isterinya daripada tulang rusuknya sendiri, supaya mereka dapat berkasih sayang sesama mereka.

___

Datuk Dr. Ismail Ibrahim bekas Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bekas Duta Besar Malaysia di Arab Saudi. Beliau sekarang penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Jun 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

1 Maklum Balas

  1. Huda Komen:

    Salaam,

    Saya mahu berkongsi artikel “Wanita dalam Islam dan wanita dalam tradisi Judaeo-Kristian: Mitos dan Kenyataan” di http://wanitadalamislam.wordpress.com/

    Dihantar pada 20 September, 2011, 1:58 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.