WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.162.173.119' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.162.173.119','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Hargai Keunikan Kita, Hormati Perbezaan Agama ','/?p=1671','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED

 Menghargai kepelbagaian budaya dan hormat-menghormati perbezaan agama merupakan dua mesej yang jelas daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang disampaikan dalam perutusan sambutan Thaipusam tahun ini. Ternyata, kedua-dua pemimpin utama negara ini begitu menitikberatkan dua elemen ini yang dilihat sebagai kunci utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu dalam menuju Wawasan 2020 bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

 Persoalannya, mengapakah kedua-dua pemimpin utama ini menyuarakan hasrat yang sama? Jika diteliti beberapa insiden yang telah berlaku di dalam negara kita mutakhir ini, ternyata kerisauan mereka berasas. Kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Malaysia telah menobatkan negara kita sebagai sebuah negara yang sangat unik. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat diberi kebebasan mutlak untuk mengamalkan sebarang ajaran agama atau kepercayaan tanpa kekangan, batasan mahupun halangan, walaupun agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi Malaysia.

 Buktinya, bilangan rumah ibadat orang bukan Islam tumbuh bagaikan cendawan tanpa sebarang halangan daripada kerajaan. Perayaan setiap agama dibenarkan disambut secara besar-besaran, seperti Thaipusam dan Wesak. Ada negeri yang memberikan cuti umum untuk beberapa upacara keagamaan, seperti Thaipusam, sebagai hadiah dan kemudahan kepada penganut agama Hindu di negara ini. Begitu juga halnya dengan penganut agama Kristian dan Buddha yang turut disediakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Selama ini, kita hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni serta memegang kuat sifat toleransi. Orang Melayu menghormati agama dan kepercayaan orang Cina dan India, dan begitu juga sebaliknya. Sifat terpuji sebeginilah yang menjadi tunjang dan tulang belakang kemajuan kita sebagai bangsa yang berjaya. Situasi ini tidak wujud dan terbentuk dengan sendiri. Kebijaksanaan pemimpin kita selama ini dalam melihat persamaan dalam perbezaan yang wujud telah memupuk budaya hormat-menghormati. Hal ini membolehkan kita hidup aman dan harmoni seterusnya menjadi model negara membangun yang disegani semua pihak.

 Buktinya pemimpin luar mengakui dan mengiktiraf kehebatan dan keunikan Malaysia. Yang terbaharu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri di Jabatan Negara Amerika Syarikat, kagum dengan pencapaian Malaysia sehingga melabel negara ini sebagai model negara membangun. Pengiktirafan ini berdasarkan penilaian Amerika Syarikat terhadap tiga perkara asas dan utama yang dimiliki Malaysia, iaitu kesuburan sistem demokrasi, kerajaan yang efektif dan pembangunan ekonomi yang baik.

 Mufti Syria, Sheikh Ahmad Badr al-Deen, menyifatkan Malaysia sebagai model masyarakat majmuk dengan kiasan “bunga-bunga yang berkembang di taman”. Hal ini membuktikan bahawa pemimpin dunia luar mengakui dan mengiktiraf kehebatan Malaysia dalam pelbagai aspek, baik politik, sosial mahupun ekonomi. Masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai sesuatu yang pelik dan mustahil, tetapi selama ini kita berjaya membuktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

 Keunikan kita hari ini ialah hasil muafakat pemimpin terdahulu yang mewakili semua kaum, berpaksikan kontrak sosial dan perlembagaan yang menjadi asas kejayaan kita selama ini. Bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun-temurun ini. Dewasa ini, terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuh dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum. Memang menjadi tanggungjawab kita untuk terus mempertahankan keunikan tersebut dengan terus menyuburkan rasa hormat-menghormati dan saling memahami budaya dan kepercayaan semua kaum di Malaysia. Untuk itu, kita perlu menepis segala prasangka dengan melihat persamaan dalam perbezaan yang ada, agar kita terus kekal harmoni. Kita perlu mengelakkan insiden yang boleh melebarkan tembok prasangka yang akan menjejaskan perpaduan kita.

 Semua pihak perlu menghormati kepercayaan dan budaya agama lain. Insiden seperti membakar novel Interlok, mencemarkan Masjid dan mempersoalkan laungan azan serta hasutan berbentuk perkauman sewajarnya dielakkan kerana hal ini hanya boleh menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati pihak lain. Hal ini sekali gus akan menjejaskan jambatan perpaduan yang telah dibina selama ini. Kita sebagai rakyat Malaysia wajar bersyukur dengan nikmat keamanan yang kita peroleh sekarang berbanding dengan negara luar yang sering tegang dan dilanda konflik. Pergolakan di negara luar bukan setakat sesama etnik, malah berlaku pelbagai perbalahan antara kaum imigran lain di negara masing-masing.

 Kita wajar mengambil iktibar daripada peristiwa yang sedang berlaku di Libya, Mesir, Tunisia dan beberapa buah negara lain yang sedang melalui konflik dalaman yang sangat runcing dan serius. Wawasan 2020 dan impian untuk menjadi negara maju dan negara berpendapatan tinggi adalah cita-cita murni kerajaan untuk manfaat generasi masa hadapan. Kerajaan yang ada pada hari ini memerlukan sokongan, kepercayaan dan keyakinan daripada segenap lapisan masyarakat yang perlu bersatu padu, bermuafakat dan bertolak ansur dalam konteks 1Malaysia agar impian dan cita-cita murni tersebut dapat direalisasikan.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.