WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.81.71.219' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.81.71.219','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Lonjakan Produktiviti Penjawat Awam','/?p=1667','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh MUHAMMAD NIZAM AB. GHANI

Perkhidmatan awam merupakan tulang belakang pentadbiran sesebuah negara. Sebagai entiti pelaksana dasar yang digubal oleh pucuk pimpinan negara, keupayaan penjawat awam bekerja secara cekap dan berkesan adalah satu keperluan penting, khususnya dalam rangka Malaysia berhasrat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pada 22 Mac 2011, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, telah menyampaikan amanatnya di hadapan 5000 orang penjawat awam  dalam acara tahunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-12.

Penyertaan seseorang dalam skim perkhidmatan awam adalah menguntungkan kerana profesion ini menjamin kestabilan hidup dan dihormati masyarakat. Walau bagaimanapun, kualiti dan produktiviti penjawat awam sering dipertikaikan berbanding dengan modal insan dari sektor swasta. Langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah satu titik permulaan ke arah merealisasikan hasrat melonjakkan perkhidmatan awam ke taraf global. Selaras dengan moto “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”, cara berfikir penjawat awam tidak harus lagi bercorak ala kadar apabila pelaksanaan sesuatu program atau dasar hanyalah sekadar menghabiskan peruntukan tahunan tanpa memikirkan hasilnya kepada rakyat.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2009, YAB Najib dan anggota kabinetnya telah meletakkan satu hala tuju yang jelas dalam corak kepimpinannya dengan memperkenalkan konsep Indeks Prestasi Utama (KPI) yang melibatkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Sebagai pemimpin nombor satu Malaysia, beliau sedar bahawa Wawasan 2020 yang diasaskan pada tahun 1991, hanya berbaki 11 tahun lagi dari tempoh beliau mula memegang jawatan sebagai perdana menteri. Lantaran itu, penyelarasan antara pihak kerajaan sebagai penggubal dasar dengan perkhidmatan awam sebagai badan pelaksana dasar perlu diwujudkan untuk memastikan Wawasan 2020 mencapai sasarannya.

Asas pertama ke arah agenda “pecutan terakhir” menjelang Wawasan 2020 ialah penubuhan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang bersifat hibrid, iaitu menghimpunkan individu cemerlang daripada sektor awam dan swasta. Penubuhan kumpulan pemikir (think-tank) ini bukan untuk menambahkan senarai pelbagai agensi pusat yang sedia ada dalam kerajaan tetapi untuk memastikan hasrat kerajaan dan aspirasi rakyat dapat disepadukan, bagi memastikan denyut nadi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Kemunculan PEMANDU sebagai badan yang menyelaraskan idea bagi menjanakan program berimpak tinggi kepada rakyat sememangnya sudah lama dinantikan. Langkah permulaan PEMANDU ialah penganjuran Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan pada Disember 2009 yang menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai sektor dan status kehidupan. Sepanjang program berkenaan, mereka berpeluang menyaksikan Program Transformasi Kerajaan dan pada masa yang sama berpeluang melontarkan buah fikiran yang inovatif dan kreatif bagi menambahbaik sistem penyampaian kerajaan.

Inisiatif inovasi seumpama ini adalah bagi meleburkan kepercayaan bahawa kerajaan mengetahui segala-galanya. Dalam era transformasi ini, rakyat tidak lagi mahu sekadar menerima segala perancangan kerajaan, tetapi mereka ingin akan hak untuk sama-sama merangka dasar dan program bersama kerajaan. Sejumlah 1.2 juta penjawat awam di Malaysia perlu mengubah cara berfikir dengan mengambil langkah yang proaktif dalam menangani isu dan kehendak rakyat, yang merupakan pelanggan utama mereka.

Tidak relevan dalam era digital ini jika masih kedengaran tempoh pemprosesan sesuatu permohonan yang dikemukakan kepada sesebuah agensi atau jabatan kerajaan mengambil masa berbulan-bulan. Perancangan teliti perlu diambil agar tidak timbul sebarang rungutan tentang kelewatan memproses dan meluluskan sesuatu permohonan.

Jabatan Imigresen merupakan satu contoh terbaik yang telah melaksanakan penyediaan pasport dalam tempoh sejam berbanding tempoh tiga bulan pada masa lalu. Penjawat awam perlu peka terhadap aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel, Facebook dan Twitter kerana media interaktif sedemikian mampu mempercepat penyampaian sesuatu maklumat yang melibatkan kepentingan rakyat.

Sikap berlengah-lengah pegawai kerajaan dalam menyelesaikan aduan rakyat, perlu dibuang dan alasan surat lambat sampai kepada pegawai yang bertanggungjawab atau pegawai perlu menghadiri pelbagai mesyuarat perlu dihapuskan. Budaya menyorong 1001 alasan sudah dianggap lapuk, memandangkan pada masa ini, rakyat mahu tindakan yang pantas.

Pada masa yang sama, anggota perkhidmatan awam wajar melihat realiti transformasi kerajaan dengan minda yang positif, dalam aspek pembangunan modal insan. Pelaksanaan program penempatan silang antara pegawai kerajaan dengan eksekutif sesebuah syarikat berkaitan kerajaan terpilih merupakan satu inovasi pembangunan modal insan. Pendedahan dan perkongsian ilmu dengan rakan di sektor swasta adalah kaedah yang berkesan bagi meningkatkan mutu penyampaian dan perkhidmatan penjawat awam.

Mekanisme kemasukan pelbagai peringkat secara antara-skim adalah satu lagi inovasi perkhidmatan awam yang menekankan keperluan pemilihan bakat terbaik dari swasta bagi memegang jawatan utama dalam sektor awam dengan tawaran insentif gaji permulaan yang tinggi berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman profesional.

Sungguhpun perubahan struktural ini dilihat sebagai elemen kejutan bagi skim perkhidmatan tertentu, hal ini perlu dilihat dalam  konteks yang lebih luas iaitu demi mencapai hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi kerajaan, perkara penting dalam pelaksanaan transformasi ini adalah misi ke arah Wawasan 2020 yang menitikberatkan penyediaan program atau dasar yang mampu memberikan hasil terbaik kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Dalam mengharungi cabaran menterjemahkan misi transformasi ini sebagai tindakan yang praktikal, elemen kreativiti wajar diberikan penekanan oleh anggota perkhidmatan awam. Penjawat awam perlu melihat sesuatu masalah atau isu dari sudut pandang yang rencam tanpa mengambil pendekatan yang stereotaip.

Semasa menyampaikan amanat Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi bulan April 2011, perdana menteri telah menyatakan betapa pentingnya anggota perkhidmatan awam mengaplikasikan kaedah strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang berorientasikan pendekatan kreatif dan inovatif. Kepentingan elemen ini tidak dapat lagi disangkal kerana pendekatan penyelesaian sesuatu masalah secara kreatif menghasilkan kesan positif kepada struktur belanjawan kerajaan yang mengutamakan nilai untuk setiap sen yang dibelanjakan.

Antara langkah inovatif yang telah dilaksanakan termasuklah dasar penempatan anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi menggantikan Pasukan Gerak Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tindakan sedemikian telah meningkatkan keberkesanan fungsi PGA dengan menempatkan mereka di lapangan terbang yang merupakan lokasi berpotensi diancam pengganas.

Langkah kerajaan mengehadkan penambahan jawatan baharu di mana-mana jabatan adalah bagi menjimatkan kos perbelanjaan emolumen. Walaupun pewujudan jawatan baharu hanya akan dipertimbangkan atas sebab keperluan yang kritikal, langkah ini merupakan cabaran kepada setiap ketua jabatan untuk merencanakan gerak kerja sumber manusia dalam organisasi masing-masing bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan tanpa melibatkan pertambahan jawatan.

Sesetengah pihak mungkin beranggapan bahawa GTP untuk sektor perkhidmatan awam mempunyai elemen kejutan dan tekanan kepada penjawat awam. Program ini dilaksanakan sebagaimana mekanisme holistik untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan di sisi rakyat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Hakikat yang perlu diterima semua pihak ialah setiap penambahbaikan memerlukan perubahan. Walau bagaimanapun, tidak semua perubahan yang berlaku akan menghasilkan penambahbaikan. Oleh itu, hanya perubahan yang dirancang dengan teliti dan realistik mampu mewujudkan impak yang tinggi terhadap perkhidmatan awam.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.