Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Langkah kerajaan interim Mesir menjadi orang tengah semasa majlis menandatangani perjanjian damai antara Fatah dengan Hamas di Kaherah boleh mencetuskan krisis hubungan dengan Isreal.

Sebelum ini, peranan tersembunyi Mesir dalam menjadi pengantara penting kepada Fatah dan Hamas telah mengejutkan Washington dan Tel Aviv. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan perjanjian ini sebagai “pukulan besar kepada keamanan dan kejayaan kepada keganasan”. 

Perkembangan lain yang membawa keprihatinan Israel dalam hubungan dengan Mesir termasuklah harapan Kaherah yang ingin memperbaharui hubungannya dengan Iran dan menimbang semula kontrak jangka panjangnya untuk membekalkan gas asli  kepada Israel.

Yang lebih membimbangkan pegawai tertinggi Israel ialah laporan bahawa pihak berkuasa Mesir akan membuka laluan Rafah ke Gaza yang ditutup selama empat tahun lalu sebagai sebahagian daripada sekatan Barat yang bertujuan melemahkan Hamas, parti yang memerintah kerajaan Palestin sekarang.

Para pegawai Kementerian Luar Mesir memberitahu Reuters bahawa mereka sedang mengkaji untuk membuka laluan sempadan itu secara kekal. Menteri Luar Mesir, Nabil Elaraby, menggesa Amerika Syarikat (AS) memperakui Palestin sebagai sebuah negara.

Hal ini ada kaitan dengan langkah Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang akan berkunjung ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini bagi meminta dunia memperakui Palestin sebagai sebuah negara merdeka.   

Amerika Syarikat mendesak supaya sebarang usaha Palestin untuk menuju ke arah perakuan sebuah negara, perlu berunding dengan Israel terlebih dahulu. Rundingan tertangguh sejak September lepas setelah Isreal enggan memperbaharui pembekuan sebahagian daripada pembinaan penempatannya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Menurut penganalisis, kerajaan sementara Mesir yang berada di bawah tekanan telah menimbang beberapa dasarnya terhadap Israel dalam hubungan dengan Palestin yang dipersetujui bekas presiden Hosni Mubarak yang dijatuhkan melalui protes rakyat pada Februari lepas. Mubarak menyokong Israel dan dasar sekatan Washington bagi membendung pengaruh Hamas.

Mesir menerima lebih AS1.3 bilion setahun melalui dana bantuan asing Amerika Syarikat dan jumlah tersebut merupakan bantuan kedua terbesar selepas Israel. Jika sikap Mesir yang kritikal dalam hubungannya dengan Israel dan Amerika Syarikat, ia tentu akan menjejaskan hubungan diplomatik dan memberikan kesan kepada bantuan yang disalurkan Amerika Syarikat sebelum ini. 

Tinjauan pendapat umum yang diterbitkan baru-baru ini oleh Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan bahawa 54 peratus warga Mesir menyokong pembatalan perjanjian damai dengan Israel pada 1979, dengan hanya 36 peratus mahukan perjanjian tersebut kekal.

Akhbar radikal Israel, Yedioth Aharonoth melaporkan laman web media sosial Mesir menggesa supaya diadakan suatu demonstrasi di hadapan kedutaan Israel, mendesak supaya duta Israel ke Mesir, Yitzhak Levanon diusir dari negara itu.

Dalam ulasan kepada beberapa media, para pegawai Israel telah mengkritik dasar luar Mesir yang baharu ini. Salah seorang daripada mereka memberitahu Wall Street Journal bahawa langkah terkini Kaherah akan “menjejaskan keselamatan nasional strategik Israel.”

Seorang lagi pegawai yang tidak mahu dikenali memberitahu Jerusalem Post bahawa “mempertingkatkan hubungan Mesir dengan Hamas mungkin membenarkan pergerakan Islam itu meningkatkan dirinya sebagai tentera pengganas yang lebih hebat lagi.”

Timbalan Perdana Menteri Israel, Silvan Shalom memberitahu Radio Israel bahawa Israel akan berhadapan dengan perubahan dalam dasar luar Mesir yang membolehkan Iran meningkatkan pengaruhnya di Gaza.

Dalam hubungan ini, ketua staf pentadbiran kerajaan sementara Mesir dalam laman Facebook, menafikannya dengan membalas bahawa Israel tidak berhak campur tangan dalam urusan antara Mesir dengan Palestin.

Bagi menunjukkan kepanikan Israel, Netanyahu dilaporkan menimbang untuk menghantar penasihat khasnya, Isaac Molho, ke Kaherah bagi berunding dengan kerajaan sementara Mesir. Beberapa minggu lepas, Netanyahu telah berulang kali membuat aduan kepada duta Eropah dan ahli politik Amerika Syarikat mengenai apa-apa yang beliau anggap sebagai suasana baharu di Mesir.

Pada bulan lepas, Elaraby memberitahu, Mesir bersedia “membuka era perdamaian baharu” dalam hubungannya dengan Tehran, yang terjejas selepas perjanjian damai Mesir-Israel sejak tiga dekad yang lalu. Mesir memberikan amaran kepada Israel bahawa bekalan gas ke Israel akan dihentikan.

Saluran paip di sebelah kawasan Mesir telah diserang sebanyak dua kali dalam tindakan yang dianggap sebagai sabotaj. Jika Mesir ingin meneruskan pembekalan gasnya, kos yang dikenakan tentulah tinggi dan hal ini juga ada kaitan dengan laporan rasuah dalam kontrak gas yang diberikan dengan kos yang rendah.

Pakar hubungan Mesir-Israel di Universiti Ben Gurion, Yoram Meital, berkata perubahan dasar Mesir ke arah Gaza mencetuskan krisis serius dalam hubungan Mesir-Israel dengan menjejaskan dasar Israel mengasingkan Hamas.

Dengan runtuhnya rejim autoritarian Mubarak, kerajaan sementara Mesir sekarang berada di bawah tekanan untuk tunduk kepada kemahuan rakyat. Para penganalisis menjelaskan, Mesir mungkin ingin menghidupkan peranan tradisinya sebagai pemimpin dunia Arab yang tentunya akan menjejaskan hubungannya dengan Israel.

Jurucakap wanita Kementerian Luar Mesir, Menha Bahoum memberitahu the New York Times: “Kami sedang membuka babak baharu. Mesir sedang memainkan peranannya yang dahulunya dilucutkan.” Penilaian ini turut dikongsi Hamas dan Fatah, kedua-dua pihak yang meminta bantuan Mesir.

Abbas telah kehilangan rakan penajanya di Mesir selepas kejatuhan Mubarak dan Hamas agak cemas dengan situasi di Syria. Dengan tekanan rakyat Palestin yang inginkan perdamaian, kedua-dua pihak tidak dapat mengabaikan atau mengetepikan gelombang perubahan yang melanda Timur Tengah sekarang.

Dunia Arab sedang memasuki babak baharu dalam sejarahnya dan ahli politik dan orang awam Israel masih terkapai-kapai dalam memahami rentak baharu di Timur Tengah sekarang. Apakah jika keadaan menjadi serius, Israel akan mencetuskan peperangan ke atas Gaza pula yang tentunya akan membawa penglibatan Mesir dan Iran?

___

Penulis merupakan ketua program kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (UNISEL), kampus Shah Alam. 

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.