Oleh MUHAMAD IRFAN

Lambakan pendatang asing dari Myanmar yang menjalankan aktiviti perniagaan di Pasar Borong Selayang atau pendatang asing dari Indonesia terutama dari Aceh dan Padang di Jalan Masjid India, Jalan Chow Kit, dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur menimbulkan persoalan.

Apakah status sebenar mereka sehingga tanpa sebarang rasa takut, mereka bebas berniaga, bersaing dengan peniaga tempatan?

Tidak perlu melihat lebih jauh, perhatikan sahaja apa-apa yang berlaku di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman terutama di Jalan Chow Kit yang menyaksikan deretan kedai menjual barangan terpakai, amat jelas kelihatan wajah pendatang asing dari Bangladesh yang menguruskan kedai.

Seorang warga Bangladesh, Zakir Hossin yang datang ke negara ini atas permit sebagai pekerja di sektor perladangan tanpa rasa takut melakukan aktiviti berniaga barangan terpakai walaupun tapak berniaganya tidak jauh dari pondok polis di kawasan tersebut.

Ketika ditanya, adakah dia tidak takut ditahan kerana menyalahgunakan permit masuk ke negara ini untuk berniaga? Sambil tersenyum dia mengakui telah mengenali hampir semua anggota penguat kuasa di sekitar kawasan itu, yang didakwanya juga sudah menjadi sebahagian daripada rakan-rakannya.

Begitu juga di deretan gerai kaki lima di sekitar Bukit Bintang Pendatang asing dari Bangladesh juga terbabit dalam kegiatan perniagaan walaupun hanya sebagai pembantu gerai sedangkan pada permit masuk mereka jelas tercatat pekerja di sektor perladangan dan perindustrian.

Lebih membingungkan, bagaimanakah pendatang asing dari Indonesia terutamanya dari Aceh dan Padang boleh membuka kedai makan atau berniaga barangan runcit?

Melihat senario ini, tidak wajar lagi pelbagai pihak mempersoalkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Malaysia ekoran pendatang asing menghantar puluhan juta ringgit setiap tahun ke negara asal mereka. Hal ini demikian kerana semuanya berpunca daripada sikap segelintir peniaga di Malaysia sendiri yang menyewakan lot kedai mereka kepada pendatang asing dengan harga yang mahal. Tanpa disedari, keuntungan yang diperoleh oleh pendatang asing ini sebenarnya jauh lebih tinggi daripada kadar sewa bulanan yang dikenakan.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.