Oleh SYAHMI SYAHIRAN

“Anda boleh lihat orang Melayu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tetapi kebanyakan mereka ialah pembeli, bukannya penjual. Orang Melayu memang gemar membeli. Antara lot kedai yang paling mahal harganya di Kuala Lumpur ialah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Siapakah yang memiliki lot kedai tersebut? Siapakah pemilik bazar pemborong di Nilai 3? Adakah kita (orang Melayu) mencari jalan pemasaran ketika wujud banyak pasar raya besar di negara ini sekarang? Mengapakah peniaga Melayu yang menjual sayur-sayuran di pasar malam hanya memiliki gerai yang kecil dan sempit berbanding dengan gerai peniaga bukan Melayu?”

Petikan di atas adalah sebahagian daripada ucapan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, semasa upacara penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Ekonomi dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-33, pada September 2005. Kini sudah enam tahun berlalu, situasi yang dinyatakan oleh tokoh ekonomi tersebut masih tidak berubah sehingga sekarang.

Satu hakikat yang sukar dinafikan, meskipun orang Melayu memiliki kuasa beli yang besar di negara ini, pembabitan mereka dalam sektor perniagaan sebagai pemborong mahupun peniaga masih terhad. Pelbagai inisiatif diusahakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pembabitan orang Melayu dalam sektor perniagaan, tetapi hasilnya masih mengecewakan.

Usaha untuk menggalakkan orang Melayu terlibat dalam perniagaan sudah berlangsung terlalu lama. Bermula dengan penubuhan Kementerian Penyelarasan Perbadanan Awam (KPPA) pada 1974 yang kemudiannya ditukar namanya kepada Kementerian Perusahaan Awam (KPA) pada 1976, sehinggalah pada 8 Mei 1995, ditubuhkan pula Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) bagi menggantikan KPA. Misi KPU khusus untuk mempercepatkan pencapaian kewujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Pada 27 Mac 2004, KPU diberikan nama baharu iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUK) dengan tambahan tanggungjawab terhadap pembangunan bidang koperasi di negara ini. Selepas itu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak memansuhkan KPUK dan peranannya diserap ke dalam Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Jelas, sudah banyak usaha dilaksanakan bagi membantu pemborong dan peniaga Melayu, tetapi hasilnya masih tidak begitu memberangsangkan. Barangkali sepanjang tempoh ini sudah ada sedikit perkembangan pembabitan orang Melayu dalam bidang perniagaan, tetapi penguasaan orang bukan Melayu pula semakin jauh ke hadapan.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.