Oleh NOOR AZAM

“Barang yang lepas jangan dikenang. Sudah menjadi milik orang.” Ungkapan ini diambil daripada serangkap pantun percintaan yang menceritakan ratapan kecewa seorang jejaka yang buah hatinya sudah berkahwin dengan orang lain.

Ada juga “orang Tanjung” yang berasa bahawa pantun ini sesuai untuk mengenang “nasib orang Melayu” Pulau Pinang yang dihalau dan terhalau dari kampung halamannya.

Laporan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu pada 22 November 2010 menyarankan, “Usah ditangisi tanah yang hilang. Merintih apa-apa yang telah berlaku tidak akan membantu dan menuding jari kepada orang lain juga tidak akan membantu mengeluarkan penduduk Melayu Pulau Pinang dari zon kehidupan yang tidak selesa ini.”

Maka walau apa-apa pun risikonya, orang Melayu perlu menoleh ke belakang, kerana sebelum ini tercatat bukti dan fakta yang sah dan nyata. Pemimpin Melayu-Islam tidak perlu takut dan mencari dalih. Nasi sudah menjadi bubur. Pekasam sudah penuh dengan ulat. Tidak perlu ditutup lagi dan tidak juga perlu apologetik kepada siapa-siapa. Semua ini bukan kesalahan yang disengajakan. Orang Melayu terlalai dan terlalu banyak melagukan politik penglipur lara. Jika orang Melayu menjadi “jantan” yang berani bertindak – bukan berani tuduh-menuduh sesama sendiri – masih ada masa dan jalan untuk menebus dosa terhadap anak cucu.

Jika benar-benar mahu mempertahankan dan menambah rumah dan tanah milik rakyat peribumi dan menjaga tanah milik kerajaan daripada “ditelan” oleh swasta asing – beranikanlah diri mengakui kelemahan dan kealpaan pemimpin politik Melayu dan politik Islam. Tidak salah, baliklah ke pangkal jalan.

Orang Melayu terlalu banyak berpolitik tuduh-menuduh, ejek-mengejek, dan kata-mengata sesama sendiri. Peminat politik Melayu yang prihatin mestilah berhenti berdebat tentang istilah “ketuanan Melayu, kedaulatan Melayu” dan “keistimewaan Melayu”, bahkan tentang “kedaulatan Raja Melayu”.

___

Datuk Nor Azam merupakan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau juga bekas Pengerusi Datuk Keramat Holdings dan Bank UMBC, bekas Pengerusi TV3, bekas Ketua Satu Persatuan Penulis Nasional (PENA), bekas Ketua Editor serta Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.