“Peniaga Melayu kekurangan modal”. Demikian ungkapan yang selalu didengar apabila bercakap tentang masalah peniaga Melayu. Masalah ini berlarutan sekian lama dan sudah banyak usaha dibuat oleh pelbagai pihak untuk menyelesaikannya, namun masalah ini masih berlarutan.

Semasa penulis menghadiri sidang media anjuran Pemaju Hartanah Melayu Malaysia (PPHMM) di ibu negara pada 11 April lalu, masalah kekurangan modal ini sekali lagi menjadi isu utama yang dibincangkan. Menurut Presiden PPHMM, Mohd. Wari Mat Zaki, kebanyakan syarikat pemaju hartanah milik bumiputera yang mahu memajukan Tanah Rizab Melayu (TRM), berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi memajukan projek mereka ekoran kekurangan modal.

Masalah ini lebih parah apabila pihak bank mengenakan syarat yang cukup ketat kepada pemaju Melayu yang memohon pinjaman. “Jika mereka (bank) meluluskan pinjaman pun, nilai TRM pasti ditafsirkan 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga semasa,” kata Wari semasa sidang media tersebut.

Masalah yang dihadapi pemaju Melayu ini sebenarnya cukup sinonim dialami oleh orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan. Persoalannya, adakah peniaga bukan Melayu tidak mengalami masalah yang sama? Adakah semua peniaga bukan Melayu memiliki modal yang besar?

Hakikatnya, terdapat tiga ciri yang dimiliki peniaga bukan Melayu yang membezakan mereka daripada peniaga Melayu. Tiga ciri inilah yang membolehkan mereka bersaing dan terus bertahan dalam dunia perniagaan.

Pertama, kebanyakan peniaga bukan Melayu bukan baru menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Mereka lazimnya bergelumang dalam sesuatu jenis perniagaan yang diwarisi daripada keluarga mereka. Hal ini menyebabkan mereka cukup mahir dalam selok-belok perniagaan yang mereka ceburi. Soal sistem berniaga, sumber modal, kaedah operasi dan pemasaran, semua berada di hujung jari mereka.

Kedua, disebabkan sudah lama berniaga, peniaga bukan Melayu menguasai keseluruhan  sistem jaringan sesuatu jenis perniagaan – bermula daripada pengilang atau pengeluar produk, pemborong, orang tengah, mahupun peniaga. Hal ini membolehkan mereka memonopoli sesuatu perniagaan tersebut dan menyukarkan pihak lain bersaing dengan mereka.

Ketiga, setelah lama berniaga dan menguasai keseluruhan sistem jaringan perniagaan, peniaga bukan Melayu bekerjasama pula dalam kalangan mereka melalui pelbagai persatuan. Melalui persatuan inilah mereka mencapai kesepakatan dan menyusun strategi untuk memastikan mereka terus bertahan dalam jenis perniagaan yang mereka ceburi.

Oleh sebab itu, sering kali peniaga Melayu merungut apabila pembekal bukan Melayu khususnya Cina hanya memberikan kemudahan kredit (hutang) kepada peniaga satu bangsa dengan mereka yang kekurangan modal dan baru berniaga. Bahkan, harga yang diberikan oleh pembekal kepada peniaga bukan Melayu relatifnya jauh lebih murah daripada peniaga Melayu.

Selagi peniaga Melayu gagal mewujudkan tiga ciri yang dimiliki peniaga bukan Melayu ini, selagi itulah mereka bergelumang dalam pelbagai masalah. Pada masa yang sama, peniaga bukan Melayu bukan setakat melangkah, tetapi sudah berlari meninggalkan pesaingnya. Bak kata orang lama, “Orang lain sudah sampai ke bulan, kita pula baru sampai ke mana?”

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.