Oleh HARA SHINTARO

Gempa bumi yang berlaku pada 11 Mac 2011 di wilayah Tohoku, bahagian timur laut Jepun, merupakan salah satu bencana alam yang paling dahsyat dalam sejarah negara matahari terbit itu. Ketika makalah ini ditulis, jumlah mangsa yang terkorban dalam bencana alam tersebut melebihi 15 ribu orang, manakala 16 ribu orang lagi dilaporkan hilang.

Kesan bencana alam itu menjejaskan Stesen Jana kuasa Nuklear Fukushima. Krisis yang berlaku hampir serentak ini mendapat perhatian masyarakat dunia.

Namun, situasi yang berlaku di Jepun sebenarnya tidaklah seburuk letupan loji yang berlaku di Chernobyl, Ukraine pada 1986, tetapi mungkin lebih serius daripada kejadian di Pulau Three Mile di Amerika Syarikat pada 1979. Hal ini demikian kerana terdapat kebocoran radioaktif dari Stesen Janakuasa Fukushima yang mempunyai enam buah loji nuklear. Tsunami yang melanda kawasan itu merosakkan sistem penyejukan loji jana kuasa berkenaan.

Di sebalik krisis ini, mangsa di wilayah Tohoku tetap menunjukkan sikap yang patut dipuji. Walaupun teruk dipukul oleh tsunami dan semua mangsa mengalami kekurangan makanan yang kritikal, mereka tidak berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan makanan yang diberikan. Sebaliknya, mereka beratur dan menunggu bantuan makanan dengan penuh tertib, sehingga menghairankan sukarelawan dan wartawan dari luar negara.

Walau bagaimanapun, ekoran kejadian bencana alam yang dahsyat ini, ada beberapa pihak yang menerima kecaman daripada pihak lain, dan salah satu daripadanya ialah media massa. Ada pihak yang mendakwa media massa arus perdana di negara matahari terbit tersebut gagal memainkan peranannya bagi meredakan suasana ketika krisis melanda.

Sesudah gempa bumi berlaku, penulis sendiri cuba menghubungi keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai penulis yang berada di Jepun untuk memastikan keselamatannya, sama ada melalui telefon, e-mel atau Facebook. Mujurlah, dalam kalangan yang penulis hubungi tidak ada sesiapa yang mendapat kemalangan jiwa.

___

Penulis lahir di Tokyo, Jepun, dan sekarang bertugas sebagai pensyarah Jabatan Bahasa-bahasa Timur, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Prince of Songkla University, Kampus Pattani.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.