Oleh HARIS ZALKAPLI
Asia Barat menarik tumpuan dunia sejak penghujung tahun lalu, apabila rakyat di hampir semua negara di rantau terbabit bangun memprotes sama ada dalam skala kecil atau besar. Selepas Tunisia, Mesir menjadi tumpuan, dan pada masa yang sama protes turut berlaku di Yaman, Algeria, dan paling teruk, di Libya.
Dalam kalangan negara yang sedang melalui protes, Bahrain muncul sebagai negara yang berpotensi memberi kesan terbesar terhadap rantau Asia Barat. Kesannya mengatasi situasi yang tercetus akibat protes di Mesir kerana kali ini melibatkan persaingan antara kuasa serantau dengan global.
Selepas beberapa bulan protes di Bahrain tertumpu pada politik domestik, dimensi serantau mula menjadi isu utama yang menjelaskan perkembangan di negara kecil di Teluk Parsi itu.
Ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, dan Oman menghantar pasukan tentera, didakwa untuk melindungi infrastruktur kerajaan. Pada 14 Mac lalu, dilaporkan sebanyak 1200 orang anggota tentera Saudi dan 800 orang anggota tentera dari Emiriah Arab Bersatu memasuki Bahrain. Sebahagian besar anggota tentera GCC terdiri daripada tentera Saudi yang dikerahkan ke Bahrain berdasarkan satu perjanjian pertahanan blok tersebut.
Kejutan terhadap politik serantau dan global dicetuskan oleh kerahan tentera negara asing untuk membantu menangani protes terbabit, dan ditingkatkan lagi oleh “perang mulut” ekoran kritikan Iran terhadap tindakan itu dan reaksi balas pemerintah Bahrain. Tindakan GCC diketuai Arab Saudi itu menyusuli kenyataannya sebelum ini iaitu menyokong kerajaan monarki Bahrain dalam berhadapan dengan protes terbabit.
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.