Oleh ISMAIL IBRAHIM

Mutakhir ini Malaysia mengalami kegawatan yang agak mencemaskan ekoran meletusnya isu perkauman, agama dan ketaasuban politik. Golongan ulama turut terbabit dengan kekecohan ini, kerana terdapat segelintir antara mereka yang memandang agama sebagai isu politik kepartian.

Jika di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, terdapat komponen parti pemerintah dan komponen parti pembangkang, kadangkala isu agama juga dibicarakan atas nama dua pihak yang bertentangan. Satu pihak mengatakan persoalan agama yang tertentu itu sebagai putih, maka pihak yang lain pula mengatakan hitam terhadap isu yang sama.

Sebenarnya agama yang diturunkan Allah SWT kepunyaan ummah seluruhnya. Istilah “ummah” untuk merujuk semua penganut agama Islam, tanpa mengira latar belakang bangsa, budaya dan ideologi mereka.

Seorang insan yang mengucap dua kalimah syahadah, dan beriman dengan rukun iman, maka dengan sendirinya insan tersebut menjadi sebahagian daripada komuniti Muslim, dan anggota masyarakat Islam sedunia. Agama bukanlah milik sesuatu bangsa, pertubuhan atau parti politik tertentu.

Menjadi kesalahan sekiranya terdapat ulama yang melibatkan diri dalam politik kepartian menghukum musuh politiknya sebagai “tidak Islamik”, “sekular” dan sebagainya. Hukuman ini tidak boleh dijatuhkan secara sewenang-wenangnya tanpa ilmu dan hikmah, tanpa akhlak dan budi bahasa yang mulia terhadap sesama manusia, apatah lagi sesama agama yang beriman kepada Allah SWT.

Hal ini tentulah menjadi lebih kritikal dan kompleks apabila terdapat ulama yang melantik dirinya sebagai mufti dengan memberikan begitu banyak fatwa tentang agama. Pada masa yang sama berasa dirinya sebagai pejuang dan intelektual yang cukup relevan untuk membicarakan isu agama tanpa had dan sempadannya.

___

Datuk Dr. Ismail Ibrahim bekas Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, dan bekas Duta Besar Malaysia di Arab Saudi. Beliau sekarang penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Mei 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.