Oleh MOHD FADZLY MOHD FAIRUZ

Isu pembuangan bayi bukanlah isu baharu namun kes  baharu sentiasa dicatatkan dan menunjukkan peningkatan saban tahun walaupun ada penurunan pada  2007. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 396 kes pembuangan bayi dicatatkan sepanjang tahun 2005 hingga 2010. Pada 2005, sejumlah 67 kes pembuangan bayi dilaporkan dan jumlah ini meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006, dan kemudiannya menurun kepada 65 kes pada 2007. Walau bagaimanapun, jumlah kes meningkat kepada 102 pada tahun 2008, menurun semula pada 2009 kepada 79 kes dan bertambah menjadi 91 kes pada 2010.

Trend peningkatan ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan pelbagai pihak apabila pada bulan Januari 2011 sahaja,  mencatatkan sejumlah 34 kes pembuangan bayi. Sudah tentu angka ini amat menakutkan dan kita tidak dapat menjangkkan apakah  angka yang akan tercatat sepanjang tahun 2011 ini nanti. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007,  kajian yang dilakukan di sekitar Lembah Klang menunjukkan seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Laporan yang dikeluarkan cukup mengejutkan dan menunjukkan nyawa seorang bayi tidak mempunyai nilai lagi.

Yang menakutkan pelbagai cara pembuangan bayi dilakukan bagi memastikan bayi yang tidak berdosa itu dihapuskan untuk menutup “malu”. Cuba bayangkan keadaan bayi yang dibuang ketika masih hidup tetapi akhirnya mati mati kerana dipam ke dalam lubang tandas, dihurungi semut atau serangga, dimakan oleh anjing atau lemas di dalam tong sampah atau pun sungai. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tahun 2004 hingga 2009, sejumlah 20.4 peratus sasaran utama tempat pembuangan bayi ialah di kawasan rumah yang membabitkan sejumlah 99 bayi, diikuti tempat pembuangan sampah yang membabitkan sejumlah 77 bayi atau 15.8 peratus dan bakinya ialah di semak, masjid, sungai, tepi jalan dan hospital.

Persoalannya mengapakah hal ini berlaku? Apakah yang harus dilakukan bagi menangani isu ini bagi membendung kes pembuangan bayi yang dilakukan secara berleluasa dan tidak berperikemanusiaan ini? Statistik yang dikeluarkan oelh PDRM ini memperlihatkan masalah gejala sosial yang dahsyat berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Masalah ini jika tidak ditangani akan menyebabkan masalah ini menjadi lebih parah dan tidak boleh diatasi lagi.

Walaupun Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, kes pembuangan bayi terus berlaku. Selangor mencatatkan kes yang tertinggi dengan jumlah 127 kes, diikuti Johor, 104 kes; Sabah, 73 kes; Sarawak, 42 kes,dan Negeri Sembilan 30 kes.

Sudah sampai masanya pihak yang terlibat menyemak dan meminda semula peruntukan yang ada bagi membolehkan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pelaku yang melakukan perbuatan membuang bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun wujud akta bagi membendung perbuatan ini, berdasarkan jumlah kes yang semakin meningkat menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini sedikit pun tidak berasa gentar atau takut. Kita bimbang perbuatan kejam membunuh bayi seperti yang berlaku pada zaman jahiliah seolah-olah menjadi “budaya” yang meresap masuk ke  dalam masyarakat pada hari ini.

Malah cara mereka membuang bayi seperti yang dipaparkan dalam akhbar amat menakutkan pada sesiapa sahaja yang melihatnya sehingga kita tidak percaya ada “manusia” yang berhati binatang yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Atau golongan ini sebenarnya lebih teruk dan hina daripada binatang kerana jika dibandingkan dengan binatang, mereka pun tahu sayang akan anaknya, mencari makan dan melindungi anaknya daripada ancaman bahaya sekeliling.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PRDM) sepanjang tahun 2004 hingga 2009 sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi dikesan melibatkan golongan remaja yang berusi aantara 18 hingga 25 tahun.  Status bayi luar nikah menjadi faktor utama bayi tersebut dibuang kerana perasaan malu dan takut kerana hamil luar nikah yang pastinya tidak akan diterima oleh keluarga dan masyarakat sekeliling. Oleh itu, sudah sampai masanya bagi semua pihak berganding bahu dan tenaga bersama-sama membanteras gejala yang tidak sihat ini dan bukannya menunding jari antara satu dengan yang lain atau pun meletakkan kesalahan tersebut kepada para remaja sahaja.

Sudah tentu ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam hal ini. Ibu bapa perlulah sentiasa mengambil berat hal anak-anak, seperti mengenali kawan anak-anak supaya dapat memastikan mereka tidak berkawan dengan individu yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah yang tidak baik. Yang penting, ibu bapa perlu bersifat tegas dengan memantau serta  mengawal waktu social anak-anak, seperti sentiasa menguatkuasakan larangan di rumah supaya anak tidak boleh keluar rumah selepas pukul 12 tengah malam.

Dalam mengharungi ledakan teknologi maklumat dan komunikasi yang pantas dalam dunia global, remaja mudah terdedah kepada pelbagai anasir yang tidak sihat. Melalui internet, banyak maklumat atau visual yang “tidak sihat” dapat dilayari dengan mudah tanpa batasan terutamanya di pusat kafe siber ynag tumbuh bagai cendawan di merata-rata tempat dan negeri. Untuk itu, ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak-anak dan menapis segala bentuk maklumat, video atau bahan internet yang dilayari di rumah bagi membendung pengaruh yang tidak sihat mempengaruhi anak-anak kerana dalam usia remaja biasanya anak-anak gagal untuk mengelak diri mereka daripada terpengaruh dengan anasir yang tidak baik.

Sementara itu, ibu bapa juga perlu mengukuhkan institusi kekeluargaan di samping memupuk semangat kekeluargaan dalam diri anak-anak supaya anak-anak berasa diri mereka dihargai dan disayangi. Yang penting, menekankan aspek didikan agama dalam diri anak-anak sejak mereka dari kecil lagi, seperti mengadakan solat berjemaah, mengaji bersama-sama, mengunjungi masjid dan menghadiri majlis ilmu serta menghadiri majlis kenduri sanak saudara atau jiran tetangga bagi mengeratkan ikatan persaudaraan sesama ahli keluarga. Aktiviti sebegini juga dapat membantu mengisi masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah dan dapat mengelak anak-anak daripada terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah dan pergaulan bebas. Didikan agama yang kukuh dan mantap teguh sejak dari kecil akan dapat membantu menghalang anak-anak daripada melakukan perkara yang tidak sihat apabila mereka dewasa kelak.

Selain itu, jiran turut berperanan penting bagi mengatasi masalah ini. Sikap “anak orang, anak kita” perlu ditanam dalam hati jiran tetangga supaya dapat menegur perbuatan remaja yang tidak baik di kawasan kejiranan atau pun membantu memaklumkan kepada ibu bapa tentang sesuatu perbuatan yang tidak sihat.

Pelbagai kempen dan program kesedaran perlu terus dilaksanakan oleh kerajaan seperti  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat badan bukan kerajaan, anggota masyarakat, dan PDRM bagi membangkitkan kesedaran tentang kepentingan membanteras isu ini agar tidak terus merebak dan merosak generasi yang bakal menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak. Isu ini bukan lagi isu keluarga tetapi isu negara yang harus ditangani secara jujur dan bertanggungjawab bagi membantu negara mencapai hasrat negara yang bukan sahaja maju dari segi fizikalnya tetapi juga maju dan bertamadun dari segi akhlak dan nilai murni masyarakatnya

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.