Oleh ZAHERUDDIN OTHMAN

Banyak orang tidak menyedari bahawa pada 1 April yang lalu genaplah setahun penubuhan Majlis Profesor Negara. Majlis Profesor Negara (MPN) merupakan sebuah badan pemikir yang ditubuhkan untuk mengumpulkan dan menemukan kesemua profesor di negara ini dalam sebuah organisasi. Tujuannya adalah untuk berkongsi kepakaran bidang masing-masing dan diharapkan dengan cara ini dapat memberi sumbangan yang besar dan lebih berkesan untuk pembangunan negara. Sehingga kini, terdapat sejumlah 1600 orang profesor di seluruh universiti awam di negara ini. Mereka ini dibahagikan kepada 14 kluster yang diketuai oleh seorang ketua, naib pengerusi, setiausaha dan sebuah sekretariat. Sebahagian besar daripada mereka ini telah mula aktif menyertai perjumpaan secara berkala yang dianjurkan oleh MPN melalui aktiviti mengikut kluster masing-masing.

Keahlian profesor dalam MPN secara automatik, dan mereka bebas memilih kluster yang ingin disertai, sesuai dengan kepakaran bidang masing-masing. Terdapat 14 kluster yang ditubuhkan di bawah MPN, iaitu Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kluster Ekonomi dan Kewangan, Kluster Governans, Kluster Perundangan dan Pengurusan Awam, Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kluster Industri dan Inovasi, Kluster Kejuruteraan dan Teknologi, Kluster Sains dan Matematik, Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Kluster Farmasi dan Sains Gunaan, Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya, dan Kluster Pertanian dan Makanan.

Penubuhan MPN adalah untuk mencapai empat objektif besar. Pertama, menyumbangkan input kepakaran dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang, untuk kegunaan advokasi awam khususnya dalam memperkukuh asas penggubalan dasar negara serta pelaksanaan program yang dirancang. Kedua, memberi sumbangan dalam bentuk khidmat nasihat dan pemikiran baharu dan terkini untuk meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai bidang pada peringkat nasional dan antarabangsa. Ketiga, menjadi penjaga atau pemegang amanah, dalam meningkatkan keunggulan dan integriti ilmiah serta profesional para profesor negara; dan keempat, memberi peluang kepada ilmuwan elit ini memberi sumbangan kepakaran masing-masing sebagai balasan kepada segala kemudahan, bantuan serta nikmat kesejahteraan yang mereka nikmati selama ini.

Selaras dengan peranannya sebagai “badan pemikir negara”, MPN bertanggungjawab mengutarakan idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan untuk faedah rakyat dan negara. Sumbangan badan pemikir ini dalam menyalurkan idea untuk dilaksanakan dan mengekalkan program pembangunan amat penting dalam usaha membantu pihak kerajaan membangunkan negara. MPN sebagai sebuah badan pemikir bersifat berkecuali dan bebas dalam tindakan untuk membantu pihak kerajaan. Berdasarkan bidang kepakaran masing-masing, profesor bebas memberikan pendapat secara objektif terhadap sebarang isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Antara aktiviti yang dianjurkan MPN termasuklah seminar dan bengkel. MPN turut bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berkait dengan pelbagai isu awam demi kepentingan bersama bagi memperlihatkan keprihatinan dan kewibawaan MPN dalam isu berkaitan. Dalam satu kenyataan akhbar sempena menyambut ulang tahun pertama penubuhan MPN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada April lalu, Pengerusi MPN, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakry Abd. Hamid berkata, “MPN akan mengeluarkan laporan analisis mengenai teknologi nuklear berikutan kebimbangan orang ramai terhadap tindakan kerajaan untuk membangunkan teknologi itu di negara ini setelah tragedi kebocoran reaktor nuklear Fukushima di Jepun. Kita tidak mahu masyarakat kita terbawa-bawa dengan pandangan yang mungkin kurang berasas. Itu bahaya. Itulah tugas MPN untuk memberikan fakta yang saintifik dan objektif tentang isu termasuk teknologi nuklear,”

MPN melakukan analisis dan akan melaporkan kebaikan dan keburukan teknologi nuklear, serta cadangan berkaitan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenainya.

Melalui sidang akhbar yang sama, MPN turut dilaporkan terlibat dalam isu novel Interlok, dan seorang anggota MPN telah dilantik sebagai pengerusi kepada badan bebas untuk menghalusi perkara tersebut. Selain itu, MPN sedang dalam perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah untuk menjadikan Sandakan sebagai hab pendidikan. Kerjasama MPN dengan kerajaan negeri Sabah merupakan rentetan daripada Mesyuarat Majlis Profesor Negara yang diadakan di Kota Kinabalu pada bulan Februari lalu. Kerjasama MPN dengan kerajaan negeri Melaka pula melibatkan program yang dilaksanakan pada peringkat negeri tersebut. MPN juga berharap kerjasama seumpamanya dapat dilaksanakan dengan kerajaan negeri yang lain.

Pada peringkat kluster, pelbagai program dilaksanakan. Dalam Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, misalnya membincangkan soal politik, keselamatan dan hubungan antarabangsa sepanjang tempoh enam bulan terakhir pada 2010. Beberapa masalah penting yang menjadi isu besar kepada negara termasuklah isu pengedaran dadah, kebanjiran pendatang asing, penularan penyakit, pemerdagangan manusia dan keselamatan ekonomi (akibat dasar liberalisasi). Sehubungan itu, MPN akan menyarankan supaya negara memberi perhatian terhadap pengurusan dan pemantauan isu yang dikenal pasti bagi membantu kerajaan.

Sebagai badan pemikir, MPN turut meneliti isu yang berkaitan dengan aspek keselamatan dalam negara yang disifatkan masih terkawal. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh MPN dengan membuat beberapa saranan kepada kerajaan agar dapat meyakinkan orang awam tentang tahap keselamatan politik, sosial dan ekonomi negara. Tahap keselamatan politik terdedah kepada beberapa aktiviti yang mampu menggugat keselamatan jika tidak dikawal. Aktiviti Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PERKASA dan HINDRAF harus tidak mendatangkan keresahan kepada hubungan antara kaum. Pada masa yang sama pihak kerajaan disarankan kaedah supaya perkara yang dahulunya dianggap tabu dapat dibincangkan secara terbuka. Hal ini penting supaya tahap “ketegangan politik” rakyat dapat dikendurkan dalam konteks hidup masyarakat majmuk.

Tahap keselamatan sosial juga dilihat semakin menurun dengan berlakunya peningkatan kes jenayah, masalah pembuangan bayi, kemiskinan dan sebagainya. Kerajaan dinasihati supaya berhati-hati menangani masalah ini dan tidak mudah mengaitkannya dengan isu perkauman. Yang penting ialah mengenal pasti masalah pokok terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. Dari aspek ekonomi pula, kerajaan turut disarankan menangani kesan pelaksanaan dasar liberalisasi yang telah dilancarkan. Model Ekonomi Baru yang baru dilancarkan harus dapat difahami oleh rakyat dengan baik.

MPN turut membincangkan keselamatan negara dari aspek hubungan antara kaum. Situasi hubungan antara kaum di Malaysia berada pada tahap terkawal. Perbezaan mendekati masalah pokok yang dihadapi setiap kaum merupakan satu masalah dan mencetuskan perbezaan besar dalam kalangan kaum. Persoalan pokok harus dikaji dan tidak mudah meletakkan sebarang masalah sebagai satu masalah perkauman. Kepentingan kaum minoriti dalam negara harus sentiasa dipertingkatkan terutamanya di Sarawak dan Sabah.

Bagi memperkasakan MPN sebagai “badan pemikir negara”, Kongres Majlis Profesor Negara yang pertama akan diadakan pada 6 dan 7 Julai 2011, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Objektif kongres, selain bertujuan menemukan profesor dari semua universiti awam bagi membincangkan dan menghalusi agenda transformasi negara, bertujuan mengukuhkan jaringan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan profesor, merentas disiplin ilmu dan institusi juga akan membahaskan agenda transformasi negara dari sudut pandangan ilmu sejagat. Hasil kongres ini, iaitu resolusi mengenai agenda transformasi negara akan dikemukakan kepada kerajaan. Kira-kira 1000 orang profesor dari seluruh negara dijangka menghadiri kongres dan dua orang ahli ekonomi terkenal dunia merangkap pemenang Hadiah Nobel Paul Krugman dan Joseph Stiglitz turut diundang.

Penubuhan MPN memang wajar dan sudah tiba masanya sebuah negara membangun seperti Malaysia menggerakkan golongan cerdik pandai untuk bersama-sama terlibat dalam pembangunan negara. Menerusi MPN, peranan profesor dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan sistematik. Tanggapan bahawa profesor hanya pandai berteori akan dapat dilenyapkan.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.