Oleh Mohd Nadzri Kamsin

Sama ada percaya atau tidak, masyarakat Melayu sejak zaman berzaman banyak berhubung dengan dunia makhluk halus yang dikenali sebagai jin. Sama seperti manusia, jin mempunyai jantina, makan dan minum, berkeluarga, berketurunan, beragama dan hidup di dunia. Jin ada yang baik dan jahat. Surah al-Jin, ayat 14: “Dan sesungguhnya sebahagian daripada kita adalah Islam, dan ada yang menyeleweng daripada kebenaran; maka sesiapa yang menurut Islam, maka merekalah golongan yang telah mencari dan menurut jalan yang benar.”

Setiap amalan manusia dan jin di dunia akan dihitung di akhirat. Walaupun kedua-dua makhluk hidup di dunia yang sama, manusia tidak boleh melihat jin tetapi jin boleh melihat manusia. Jika ada manusia yang boleh melihat jin, itu hanya apabila jin menjelma dalam bentuk yang berlainan. Jin dalam bentuk asal memang tidak dapat dilihat manusia dengan mata kasar.

Jin dan manusia hidup di Bumi dalam dua dimensi yang berlainan. Surah al-A’raaf, sebahagian ayat 27 ada menceritakan: “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dimana kamu tidak dapat melihat mereka.” Kejadian asal manusia daripada tanah manakala jin daripada api. Surah al-Hijr, ayat 26 – 27: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang merubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, daripada angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

Kewujudan jin lebih awal daripada manusia. Iblis diketahui mempunyai dendam kepada Adam a.s. dan seluruh keturunan manusia sehingga hari kiamat. Surah al-Kahfi ayat 50: “Dan ingatlah tatkala Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhakai perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka adalah musuhmu. Amatlah buruknya bagi orang yang zalim pengganti yang mereka pilih itu.”

Tuhan telah meperingatkan manusia supaya tidak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai pemimpin. Peringatan ini seperti tidak diendahkan dan terus berlaku zaman ke zaman. Sejarah manusia memperlihatkan hanya seorang sahaja manusia yang dianugerahkan Tuhan berkuasa ke atas jin iaitu nabi Sulaiman a.s. Surah Saba, ayat 12: “Dan bagi Sulaiman Kami tundukkan angin untuk perjalanannya pada waktu pagi yang menyamai perjalanan sebulan, dan perjalanan pada petangnya menyamai perjalanan sebulan; dan Kami alirkan baginya mata air daripada tembaga; dan sebahagian daripada jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, Kami rasakannya azab neraka kepadanya.”

Dalam kalangan masyarakat Melayu, aktiviti melibatkan alam jin sudah lama berlaku sejak turun-temurun tanpa banyak yang menyedari wujudnya unsur kesesatan dalam aktiviti tersebut. Hal ini demikian kerana sifat orang Melayu yang suka mengambil jalan mudah, tidak berfikir secara kritis dan terlalu mengikut hawa nafsu.

Jika dikaji ilmu persilatan Melayu, banyak unsur melibatkan alam jin boleh dilihat. Ada orang Melayu yang hendak menjadi kuat secara tiba-tiba dan ekspres, percaya ilmu kebatinan boleh membantu hasrat tersebut. Mereka yang tidak pernah bersilat, dalam sekelip mata boleh membuka pelbagai langkah silat seperti seorang pendekar dengan hanya membaca beberapa mentera. Kononnya, apabila mentera dibaca, roh Hang Tuah, Hang Jebat dan bermacam-macam lagi pendekar zaman purba akan diseru dan masuk ke dalam badan mereka. Adakah logik memanggil orang yang sudah mati dan sedang menghadapi alam barzakh begitu sahaja? Sebenarnya, yang berlaku hanyalah jin yang menipu manusia, menyamar dan masuk ke dalam badan, dan memperbodohkan masyarakat Melayu yang mengamalkan “silat menyeru roh”.

Perkara sama juga berlaku di luar persilatan Melayu. Ada orang Melayu percaya, golongan wali, ulama dan tokoh terkenal yang sudah mati boleh diseru supaya datang dan memberikan maklumat berkaitan perkara ghaib. Hakikatnya, jin yang datang menjelma dalam bentuk manusia. Mereka yang terlibat dengan perkara sebegini sering dikatikan dengan penubuhan kumpulan ajaran sesat di Malaysia.

Bagi lelaki, mereka berharap agar kuat dan mempunyai tenaga luar biasa. Bagi perempuan, mereka menginginkan kecantikan luar biasa. Contohnya secara tiba-tiba, pandangan orang ramai dikaburkan dengan kecantikan palsu yang tampak nyata. Pemakaian susuk yang selalu diperolehi melalui bomoh atau dukun membolehkan si pemakai kelihatan cantik dan manis.

Susuk emas, perak, raksa, besi, berlian, dan susu yang dimasukkan ke dalam badan, disertakan pantang larang seperti larangan melalui bawah sidaian baju dan rumah. Sebenarnya bukan perkara ini yang menjadikan si pemakai cantik dan menarik, tetapi Ilmu hitam yang melibatkan jin yang mendampingi si pemakai sepanjang masa, telah menyihirkan pandangan mata manusia. Pemakaian susuk boleh mengubah seorang wanita berusia kelihatan cantik dan manis seperti anak dara.

Selain susuk, ilmu pengasih “panah arjuna” turut diamalkan masyarakat Melayu. Pelbagai mentera dibaca seperti “pandang kanan terbuka hati kasihan belas, pandang kiri terbuka kabul hati dendam rindu”. Setelah “arjuna” dipanah kepada si tuju, orang yang ditujukan akan menjadi tergila-gila, angau, dan tertarik kepada pemghantar arjuna. Yang dihantarnya bukanlah panah dalam bentuk yang kita bayangkan, sebaliknya jin yang akan datang kepada orang yang dipanah dan mengganggu dan mengawal fikiran sehingga asyik teringat-ingatkan sahaja si pengirim. Malangnya cinta yang datang bukan cinta lahiriah yang lahir dari hati yang suci tetapi cinta akibat perbuatan sihir yang menyesatkan. Cinta palsu sebegini tidak kekal lama.

Terdapat masyarakat Melayu yang langsung tidak menyedari kesesatan penggunaan susuk dan panah arjuna, kerana mentera yang dibekalkan akan disulami bacaan kalimah syahadah mahupun basmalah yang kemudian dicampuraduk dengan panggilan nama-nama ganjil yang tidak dikenali. Setelah jatuh cinta dan kemudian berkahwin, barulah nanti akan kelihatan banyak perkara misteri termasuklah jelmaan lembaga yang menakutkan yang sentiasa berkunjung ke rumah si pemakai.

Kuat, kaya dan cantik secara tiba-tiba merupakan sebahagian daripada kisah orang Melayu yang melibatkan diri dengan jin. Ada yang melibatkan diri dalam aktiviti rompakan secara ghaib, lebih hebat daripada perompak ganas seperti Botak Chin sehinggakan tidak dapat dikesan pihak polis. Perompak menggunakan jin belaan yang dipanggil toyol dan dihantar ke rumah sasaran untuk mengambil apa sahaja harta seperti barang kemas dan duit secara tersembunyi dan tidak boleh dilihat.

Perompak hanya perlu “menggembirakan” hati toyol dengan memberinya makan darah sendiri. Selain rompakan, ada juga yang ingin menjadi kaya melalui perjudian. Sudahlah berdosa kerana berjudi atau merompak, mereka pula melakukan syirik dengan mendapatkan khidmat jin.  Kubur atau makam sekian-sekian orang dikunjung pada waktu malam sambil membaca mantera yang lebih dikenali sebagai aktiviti “mengangkung”. Kemudian akan muncullah “atuk” dan “nenek” secara tiba-tiba yang bersedia membantu memberikan nombor bertuah yang menjadikan mereka kaya-raya menerusi judi ekor. 

Satu lagi masalah yang membelenggu orang Melayu berkaitan alam jin ini ialah orang bunian. Apabila ada orang yang hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dicari dalam tempoh yang lama maka akan keluarlah cerita bahawa orang tersebut disorokkan oleh orang bunian. Maka bermulalah operasi mencari orang yang hilang di alam bunian dengan memanggil segala dukun dan tok bomoh yang ada. Orang bunian merupakan perkara yang cukup misteri. Makhluk jin hidup di laut, di udara, di tengah hutan belantara, di tempat yang kotor dan di tempat-tempat yang jauh daripada manusia.

Jika manusia pergi ke tempat-tempat tersebut, mereka akan menjadi perhatian jin di sekitarnya yang kemudian akan menjelma menjadi manusia dan menyihir pandangan mata mereka. Orang ini akan menjadi leka dengan pandangan dunia baharu yang berlainan. Orang bunian yang selalu diperkatakan oleh masyarakat Melayu ini sebenarnya adalah jin. Jelmaan ditunjukkan dalam pelbagai rupa seperti jelmaan wanita cantik. Kerana asyik dengan cerita orang bunian, ada di kalangan masyarakat Melayu yang tergila-gilakan untuk mencari pasangan dan berkahwin dengan orang bunian. Orang sebegini, lama-kelamaan semakin tidak berpijak di bumi nyata dan hidup dalam dunia yang terawang-awang.

Masalah orang Melayu yang lebih parah adalah apabila mereka mengadakan hubungan dengan alam jin dalam bentuk perjanjian yang menyesatkan untuk tujuan kepuasan nafsu diturunkan kepada keluarga daripada generasi ke generasi. Semata-mata untuk menjadi kaya, kuat, menarik perhatian orang dan pelbagai lagi nikmat kepuasan nafsu yang ingin dicapai, perkara syirik dilakukan tanpa memikirkan kesan negatif.

Jin mempunyai umur yang sangat panjang berbanding manusia. Maka tidak menghairankan melihat jin yang sama menyesatkan manusia dari generasi pertama sehingga ke cucu-cicit. Inilah yang dipanggil saka. Sama ada seseorang tahu atau tidak, saka diperturunkan untuk terus berdamping dengan keturunan orang yang mula-mula melibatkan diri dengan perjanjian yang sesat dengan jin tersebut.

Ada orang yang tidak faham mengapa hidupnya terganggu dengan kemunculan lembaga yang mengerikan dan adakalanya dirasuk tanpa mengetahui bapa, datuk, atau nenek moyang mereka yang mewariskannya. Surah al-Jin, ayat 6: “Dan sesungguhnya beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Persoalannya sampai bila perkara sebegini akan berakhir. Mungkin arus pemodenan secara perlahan-lahan mampu mengalihkan perhatian masyarakat Melayu daripada alam jin kepada perkara yang lebih berfaedah untuk pembangunan bangsa. Golongan ulama perlu ke hadapan untuk memperbetulkan persepsi dan perkara salah yang masih diamalkan sesetengah masyarakat Melayu berkaitan jin. Bukan sahaja akidah terjejas, malah kepercayaan karut-marut yang jelas banyak bertentangan dengan agama akan melembapkan usaha memajukan bangsa. Ketika bangsa lain maju ke hadapan dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, kita mundur ke belakang dengan pelbagai permasalahan penglibatan diri dengan alam ghaib yang menyesatkan dan memudaratkan.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.