Oleh Ainul Hanis Md Anuar

Rangkaian pengangkutan awam negara khususnya di sekitar Lembah Klang merangkumi pelbagai jenis pengangkutan seperti bas, teksi, dan tren. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit bagi memperbaiki mutu pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang. Seharusnya pengangkutan awam ini mampu memberikan kesempurnaan dan memudahkan rakyat menjalani kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun tahap penggunaan pengangkutan awam masih belum boleh dibanggakan. Kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekitar Lembah Klang masih belum dapat ditangani. Keterbukaan masyarakat terhadap pengangkutan awam masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Selain itu masyarakat mendapati mutu perkhidmatan pengangkutan awam masih pada tahap rendah.

Antara permasalahan yang dihadapi masyarakat termasuklah insiden melibatkan pemandu teksi yang mengenakan tambang keterlaluan. Kebiasaannya perkara ini terjadi kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan teksi. Penggunaan meter diabaikan sesetengah pemandu teksi. Kesesakan lalu lintas juga menyukarkan perkhidmatan ini diperoleh. Sering kali masyarakat mengadu tentang kerakusan pemandu teksi di jalan raya. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam. Disarankan semua pekerja pengangkutan awam diberi kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci pelanggan.

Kemelut pengangkutan awam turut dikaitkan dengan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Pengangkutan awam seperti bas yang tidak menepati jadual perjalanan menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik menyebabkan ianya tidak selesa dinaiki. Pemandu bas turut memainkan peranan penting dalam menarik minat masyarakat terhadap pengangkutan awam. Kebanyakan pemandu memandu dalam keadaan merbahaya. Lebih memburukkan keadaan apabila jumlah penumpang melebihi jumlah penumpang yang dibenarkan.

Buat masa ini sistem rel lebih efisien. Sistem rel merangkumi kawasan tempatan di antara rumah, tempat kerja, pusat beli-belah dan pusat-pusat pendidikan. Ianya juga mampu menghindari kesesakan lalu lintas. Namun masih ada kesan negatif yang terhasil daripada sistem rel kerana menyebabkan pencemaran bunyi terutamanya pada laluan yang melibatkan kawasan perumahan. Sistem ini juga membuka peluang kepada penyeluk saku menjalankan aktiviti mereka.

Kesimpulannya, dalam mengharungi arus kemodenan faktor positif dan negatif tidak dapat dielakkan. Masyarakat harus difahamkan untuk memilih dan menangani apa jua yang berlaku dalam kehidupan seharian. 

___

Surat Pembaca ialah ruangan khusus untuk pembaca memberikan pandangan tentang isu yang diperkatakan dalam Dewan Masyarakat bercetak dan dalam talian. Segera kirimkan pandangan anda kepada Editor Dewan Masyarakat dalam talian dengan menyertakan maklumat peribadi yang lengkap. Hantarkan kepada: syukri@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.