Oleh SAIFUL KHAIRI KAMARUDIN

Pergolakan di Mesir menarik perhatian banyak pihak kerana situasi yang berlaku mempunyai hubungan yang rapat dengan nasib dunia Islam. Sebelum ini, penulis pernah menulis isu hubungan antarabangsa Mesir sejurus sahaja Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat Mesir dengan membawa misi dunia Barat agar mereka dapat mengembalikan hubungan rapat Barat dengan Islam melalui kerajaan Mesir, iaitu teraju proksinya di Timur Tengah.

Penulis ada menyatakan bahawa hasrat kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk berbaik-baik dengan masyarakat Islam dengan berkhutbah di Universiti Kaherah tidak akan terlaksana kerana pertembungan antara Islam dengan Barat sudah termaktub dalam sejarah dunia.

Jika ditelusuri sejarah hubungan Mesir dengan Barat, keadaannya tidak banyak berubah. Pertembungan antara dua tamadun berpunca daripada konflik dalaman negara yang berterusan. Situasi yang wujud sebenarnya adalah permusuhan antara dua proksi yang berbeza budaya. Pergolakan dalaman negara Islam itu sendiri antara golongan proBarat dengan pro-Islam tidak akan ada titik noktahnya. Masing-masing menganggap fahaman, pendekatan, dan amalan politik yang mereka canangkan kepada rakyat Mesir adalah paling hampir kepada amalan demokrasi tulen.

Beberapa persoalan perlu dijawab bagi merungkai faktor sebenar kebangkitan rakyat Mesir menentang kerajaan Hosni Mubarak. Faktor sebenar yang ingin diketahui bukanlah perkara yang mudah untuk dicungkil. Faktor tersebut melibatkan kontradiksi terhadap propaganda yang dimainkan oleh media Barat. Bagaimanakah campur tangan AS selaku wakil dunia Barat dalam mengambil kesempatan pemberontakan rakyat di Mesir? Apakah kepentingan AS dengan kerajaan yang ada di Mesir? Benarkah tercetusnya pemberontakan disebabkan masalah ekonomi yang melanda Mesir sejak akhir-akhir ini? Apakah kebangkitan rakyat Mesir tiada kaitan sama sekali dengan kebangkitan kuasa Islam di Palestin yang begitu rapat sekali dengan gerakan Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Islamiyah di Mesir?

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat April 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.