OlehFIRDAUS HAJI ABDULLAH

Ada dua mesej utama yang mahu disampaikan kepada dua pihak yang berasingan melalui makalah yang bermauduk “provokasi” ini. Pertama, mesej ini disampaikan kepada orang Melayu yang secara kebetulan sebahagian besarnya masih lagi menyokong Barisan Nasional (BN) supaya jangan mudah “terperangkap” oleh provokasi pihak pembangkang terutama daripada Parti Tindakan Rakyat (DAP). Orang Melayu perlu lebih “berwaspada” apabila berhadapan dengan pelbagai bentuk provokasi yang dihalakan kepada mereka. Reaksi spontan atau terlalu emosional boleh menjerumuskan orang Melayu dalam perbuatan yang membazir. Kata pepatah Melayu, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”.

Kedua, kepada pihak pembangkang, terutama beberapa individu tertentu dalam pimpinan DAP, diharapkan supaya jangan “menguji kesabaran” orang Melayu secara keterlaluan dengan provokasi yang boleh membawa padah kepada kerukunan rakyat negara ini yang hidup bermasyarakat dan bernegara. Kata pepatah Melayu, “hendak baik 1000 tahun, hendak buruk tidak sempat kapas dibakar”.

Dua mesej ini penting disampaikan kerana semenjak akhir-akhir ini didapati sesetengah pihak semakin nekad menggunakan “provokasi” sebagai “senjata politik” untuk menyerang bangsa Melayu sambil menggugat pelbagai tradisi serta institusi dalam sistem kenegaraan di negara ini. Manakala sebahagian orang Melayu pula terlalu mudah “melatah” apabila berhadapan dengan “provokasi” yang secara langsung atau secara tidak langsung dihalakan kepada mereka.

Perlakuan provokasi berleluasa di laman sesawang atau portal berita dalam talian dengan penulisan yang tidak bertanggungjawab. Demikian pula siri demonstrasi haram di jalan raya dan tempat awam.

Ruang mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat juga dijadikan pentas provokasi dengan melakukan kelakuan yang melanggar protokol dan adab sopan. Rumah ibadat umat Islam dijadikan sasaran provokasi halus dengan pelbagai helah dan muslihat. Institusi kesultanan tidak ketinggalan menjadi sasaran provokasi secara tidak langsung atau berselindung.

Malah senjata provokasi juga digunakan untuk “menyerang” sastera Melayu dengan mempertikaikan penggunaan beberapa istilah dalam sebuah novel karya seorang sasterawan yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Individu tertentu dalam kalangan pemimpin pembangkang Melayu tidak menyedari bahawa mereka “diperalat” untuk menyalakan api provokasi yang merugikan bangsanya sendiri.

___

Senator Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah senator Dewan Negara merupakan mantan Ketua Pengarah DBP yang sekarang berpangkalan di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sebagai Pakar Rujuk.

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat April 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.