Namanya Amin. Umurnya 32 tahun. Tubuhnya kurus kering dan rambutnya kusut-masai. Garis-garis halus kelihatan di dahinya dan kedutan mula muncul di sekitar wajahnya. Amin tua sebelum usianya.

 Sudah hampir 10 tahun dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang membuat batu bata di kawasan industri Senawang, Seremban. Mungkin disebabkan tidak cukup tidur kerana terpaksa bekerja pada waktu malam, matanya kelihatan cengkung.

 “Orang susah macam aku ini memang cepat nampak tua,” kata Amin kepada penulis sambil tersenyum penuh makna.

 Penulis mengenali Amin sejak di bangku sekolah. Dia tinggal di salah sebuah tanah rancangan FELDA, di Negeri Sembilan. Penulis cukup memahami punca Amin berubah sikap.

 Kira-kira 14 tahun dahulu, semasa dia baru sahaja menamatkan alam persekolahan, keluarganya  mendapat “durian runtuh”. Tanah kebun getah FELDA seluas 10 ekar milik ayahnya dibeli dan dimajukan oleh sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk projek pembangunan. Ketika itu harga tanah tersebut bernilai RM1.3 juta.

 Namun, sejurus memperoleh wang hasil jualan tanah itu, kehidupan keluarga Amin mula huru-hara. Adik beradiknya yang berjumlah enam orang berberantakan menuntut bahagian masing-masing daripada wang jualan tanah itu. Sebagai anak bongsu, Amin hanya mampu melihat dengan penuh perasaan kecewa kelakuan kakak dan abangnya.

 Lebih mengharukan apabila ayahnya pula berkahwin lagi seorang tanpa pengetahuan ibunya. Lantas, apabila “tembelang” ayahnya pecah, ibunya terus mengamuk. Akhirnya, ibu dan bapanya bercerai. Tanpa perikemanusiaan, ibunya dihalau oleh bapanya dari rumah.

 Amin sekarang tinggal bersama dengan ibunya di sebuah rumah flat di  Senawang. Khabarnya,  ayahnya terus menghilangkan diri selepas bercerai, tanpa memberi satu sen pun wang nafkah kepada ibunya yang sekarang menghidap penyakit angin ahmar yang serius. Bermula dari detik itulah Amin menjadi pendiam dan suka termenung.

Hakikatnya, kisah Amin ini bukan kisah terpencil dalam kehidupan orang Melayu. Sudah berderet-deret kes yang berkisar tentang tanah dan kemelaratan dalam kehidupan orang Melayu. Bahkan, kisah seperti Amin juga antara tema popular yang digarap dalam drama atau filem Melayu.

 Kisah Amin juga mengingatkan penulis kepada buku tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malay Dilema (1970). Dalam buku tersebut antara lain mengetengahkan kritikan Mahathir terhadap sikap orang Melayu yang begitu suka menjual tanah dan kemudian hidup mereka menjadi huru-hara.

 Tanah dalam konteks orang Melayu sekarang bukan lagi dianggap warisan pusaka yang wajar dipertahankan, sebaliknya dinilai sebagai komoditi yang perlu segera dijual untuk memperoleh keuntungan.

 Akhirnya sekarang, tanah milik orang Melayu di negara ini mula lenyap daripada peta. Bahkan, di kawasan bandar, tanah orang Melayu tinggal sekangkang kera. Yang tinggal, hanya cerita sedih seperti Amin dan pelbagai lagi kisah duka.

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.