Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Bermula dengan sanjungan kerana menjadi rakan Barat, menyokong dan membantu Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq dan Afghanistan, mengadakan hubungan rahsia dengan Israel dan melaksanakan Program Penyesuaian Struktural (SAP) Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), presiden Tunisia Zine el-Abidine Ben Ali kini dipandang hina oleh media Barat.

Liputan meluas media Barat mengenai protes rakyat menentang Ben Ali sehingga mendesaknya lari meninggalkan Tunisia dan berlindung di Arab Saudi.

Sokongan pihak tentera kepada rakyat membuatkan media Barat merasakan Ben Ali sudah tidak berguna dan sudah sampai masa untuk beliau turun takhta. Maka, paluan demokrasi pun bergema lagi bagi menobatkan pemimpin baharu yang akan mengikut rentak mereka.    

Semasa protes rakyat di Tunisia ini, istilah seperti “Intifada Belia” dan “Revolusi Melur” digunakan media Barat. Liputan media Barat seolah-olah meletupnya gunung Merapi di rantau Timur Tengah dan negara Arab di utara Afrika. 

Dalam hubungan ini, media Barat telah membingkaikan protes rakyat Tunisia sebagai kesan daripada pemerintahan diktator Ben Ali yang zalim dan kejam. Sehubungan dengan itu media menyifatkan bekas presiden Tunisia ini sebagai seorang antidemokrasi dan autoritarian yang bertentangan dengan norma komuniti antarabangsa. 

Ben Ali memberikan sokongan kepada Barat (terutamanya AS) dalam setiap langkah yang diambil mereka, terutamanya semasa kempen perang AS menentang keganasan dan menawan Iraq. Selama 23 tahun, media Barat menyifatkan Ben Ali sebagai “sahabat” Barat yang melaksanakan pelan SAP di bawah IMF dan sanggup membiarkan rakyatnya menderita dalam kemiskinan dan pengangguran. Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba sekarang media Barat menganggap bekas presiden Tunisia itu sebagai diktator.

Laporan media Barat seolah-olah memperlihatkan ledakan sosial dalaman ditujukan kepada penentangan terhadap kerajaan. Campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negeri Tunisia tidak pernah disebut media Barat atau tidak pernah ada.

Sebenarnya, kenaikan harga barang dan isu pengangguran di Tunisia bukanlah berpunca daripada dasar kerajaan Ben Ali tetapi  telah diatur dan ditentukan oleh Wall Street dan IMF. Pemimpin yang lebih kejam ialah mereka yang berada di belakang kedua-dua instituisi ini.

Selama lebih 20 tahun, peranan kerajaan Ben Ali sekadar melaksanakan pelan SAP. Pelan ini dianggap penawar yang dapat membawa Tunisia keluar daripada kemiskinan tetapi ternyata memporak-perandakan ekonomi nasional dan membawa kesengsaraan kepada rakyat Tunisia.

Hakikatnya, Ben Ali hanya boneka yang tidak dapat membuat sebarang keputusan bagi kepentingan negaranya. Dengan menerima bantuan kewangan IMF, beliau telah menjual kedaulatan negaranya kepada organisasi kewangan antarabangsa dan korporat AS serta negara maju yang lain. Kumpulan inilah yang akan mengaut keuntungan daripada SAP.  

Pada 1987, ketika krisis hutang semakin memuncak, kerajaan nasionalis kiri pimpinan Habib Bourguiba digantikan oleh rejim baharu (Ben Ali) yang komited menjalankan refomasi pasaran.

Sepanjang 23 tahun pemerintahan Ben Ali, segala dasar ekonomi dan sosial Tunisia,  termasuklah pengurusan makroekonominya, dikuasai oleh Konsensus Washington. 

Biasanya pendekatan IMF memerlukan pertukaran rejim. Pelantikan kerajaan baharu yang sudah tunduk kepada Barat memastikan pelaksanaan agenda liberal baharunya dengan mewujudkan syarat yang menyebabkan penderitaan rakyat dan menguntungkan syarikat asing. 

Ironinya, kita tidak melihat bantahan rakyat terhadap Wall Street dan instituisi kewangan antarabangsa Bretton Woods, seperti IMF dan Bank Dunia, yang seharusnya menjadi sasaran bantahan tersebut. Melalui liputan media Barat, kita dapat melihat bahawa bantahan itu bukanlah akibat daripada pergerakan politik atau sosial yang tersusun yang ditujukan kepada dasar neo-liberal tersebut.

Tambahan pula, terdapat tanda bahawa bantahan tersebut dimanipulasikan untuk mencetuskan kegalauan sosial dan memastikan penguasaan politik, seperti kata pepatah Inggeris “wain lama dalam botol baru”.

Persoalan yang lebih penting sekarang ialah bagaimanakah krisis ini akan diatasi? Sejauh manakah parti politik dan kumpulan nasionalis dan Islam sedar, dan  mengutarakan isu campur tangan asing di Tunisia yang membawa krisis ekonomi dan sosial di Tunisia? 

Buat sementara waktu, Washington dan Brussels (EU) mengambil sikap berdiam diri dahulu kerana mereka seolah-olah sudah merasakan rejim autoritarian Ben Ali ini akan digantikan dengan sebuah kerajaan liberal tetapi tetap tunduk kepada dasar IMF.  

Kerajaan sementara yang diketuai pemangku presiden, Fouad Mebazza, menghadapi kebuntuan kerana menerima tentangan hebat daripada pergerakan kesatuan sekerja (UGTT). Mebazza telah berjanji untuk memutuskan era masa lalu tanpa menjelaskan sama ada hal ini bermakna menghapuskan pembaharuan ekonomi neo-liberal IMF itu atau tidak.   

Liputan media Barat tentang krisis di Tunisia mengandaikan bahawa dengan kejatuhan rejim Ben Ali dan pelantikan kerajaan baharu, isu krisis sosial dan ekonomi akan diatasi.

Penilaian terhadap dokumen IMF menunjukkan bahawa sejak Ben Ali menjadi presiden pada 1987, kerajaannya menuruti segala syarat IMF-Bank Dunia, termasuk memecat pekerja sektor awam, menghapuskan subsidi serta harga kawalan barangan utama pengguna dan melaksanakan program penswastaan.

Apabila Bank Dunia mengarahkan Tunisia mengetepikan tarif perdagangan, hal ini mencetuskan gelombang kebankrapan dalam kalangan syarikat tempatan kerana barang import, seperti makanan, lebih murah berbanding dengan harga bahan makanan di Tunisia sendiri. Hal ini menyebabkan ramai rakyat menganggur.

Pada September 2010, kesefahaman dicapai antara Tunisia dengan IMF, yang menyarankan penghapusan subsidi sebagai usaha mencapai keseimbangan fiskal. Desakan IMF ke arah dasar kesederhanaan fiskal dan penghapusan subsidi seiring  dengan kenaikan harga makanan ruji di bursa tukaran komoditi di London, New York dan Chicago. Sebahagian besar daripada kenaikan harga komoditi ini berlebih akibat perdagangan spekulatif oleh korporat utama Barat.  

Kenaikan harga bahan makanan semata-mata manipulasi pasaran daripada kekurangan bahan ini  yang memiskinkan penduduk di serata dunia.

Media sebenarnya telah mengalihkan perhatian orang awam apabila memberikan alasan kenaikan harga bahan makanan disebabkan oleh isu kos penghasilan, perubahan iklim dan faktor lain yang menyebabkan pengurangan penawaran dan menyumbang kepada kenaikan harga bahan makanan.

Walaupun inilah antara faktornya, media gagal menjelaskan kenaikan mendadak ini disebabkan oleh manipulasi dalam pasaran.

Hal ini dikaitkan dengan perdagangan spekulatif dalam pasaran komoditi. Harga gandum, misalnya, dinaikkan oleh tindakan spekulatif di tukaran mekantil New York dan Chicago. 

Perdagangan spekulatif untuk gandum, beras atau jagung boleh berlaku tanpa perlakuan transaksi komoditi sebenar. Institusi yang terlibat dalam pasaran bijirin tidak perlu terlibat dalam penjualan dan penghantaran bijirin.

Transaksi boleh sahaja menggunakan dana indeks komoditi yang bertaruh dalam pergerakan naik atau turun harga komoditi. Misalnya, pertaruhan dalam opsyen put (put option) menyebabkan harga menurun dan pertaruhan dalam opsyen panggilan (call option) menyebabkan harga komoditi naik. Melalui manipulasi secara bersama, pedagang spekulator dan institusi kewangan boleh membuat harga naik dan meletakkan taruhan yang menggerakkan kenaikan harga dalam sesebuah komoditi.

Spekulasi akan menjanakan keanjalan pasaran. Akibatnya, hal ini menggalakkan lagi kegiatan spekulatif. Keuntungan akan dikaut apabila harga naik. Sebaliknya, spekulator juga akan menjual saham supaya harganya jatuh, dan mereka akan membelinya dan menjualnya pula dengan harga yang tinggi.

Peningkatan spekulatif yang berlaku tidak lama dahulu dalam harga makanan telah mencetuskan kebuluran, seperti yang berlaku di Haiti dan beberapa negara Afrika yang lain dalam kadar yang tidak dijangkakan.

Dari 2006 hingga 2008, terdapat kenaikan mendadak dalam harga semua makanan ruji, termasuk beras, gandum dan jagung. Harga beras, misalnya, naik tiga kali ganda dalam jangka masa lima tahun, daripada kira-kira AS$600 setan pada 2003 kepada AS$1800 setan pada Mei 2008.

Yang berlaku ialah kenaikan mendadak sebanyak 32 peratus dalam indeks komposit  harga makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang dicatat pada penggal kedua 2010.

Bayangkan, dengan latar belakang kenaikan harga bahan makanan, IMF menyarankan penghapusan subsidi dengan harapan untuk mencapai matlamat kesederhanaan fiskal. Untuk menjaga kepentingan siapakah langkah penghapusan subsidi makanan dilakukan oleh kerajaan Tunisia dan negara yang berada di bawah cengkaman IMF?

Yang berlaku di Tunisia merupakan sebahagian daripada proses ekonomi sejagat yang memusnahkan kehidupan penduduk melalui manipulasi kuasa pasaran dalam harga komoditi.

Realiti ekonomi dan kehidupan sosial yang buruk hasil campur tangan IMF telah menyebabkan kenaikan harga bahan makanan, pembuangan kerja pekerja awam dan swasta, penutupan program sosial dan peningkatan pengangguran dalam kalangan rakyat. Hal ini menyebabkan kelesuan daya mampu beli pengguna, penutupan sekolah dan klinik kesihatan, dan kebuluran dalam kalangan kanak-kanak, seterusnya menafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan asas.

Yang penting bagi Tunisia sekarang adalah bentuk kerajaan yang akan muncul hasil daripada proses demokrasi. Untuk kepentingan siapakah kerajaan tersebut? Adakah pemimpin kerajaan yang berpihak kepada Barat dan tunduk kepada IMF atau yang mengutamakan kepentingan nasional? Adakah tentera yang akan menentukan haluan kerajaan dan proses demokrasi palsu yang membawa perang saudara, seperti yang berlaku di Iraq?

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.