Akhirnya Hosni Mubarak meletak jawatan pada 12 Februari lalu. Rakyat Mesir memenuhi Dataran Tahrir dan jalan raya sekitar Kaherah sambil menari dan mengibar-ngibarkan bendera untuk merayakan pengunduran presiden yang memerintah Mesir secara kuku besi selama hampir 30 tahun itu.

Nampaknya Mubarak menjadi “mangsa” kedua revolusi rakyat yang berlaku di Timur Tengah. Sebelum ini, Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali, turut mengalami nasib yang sama pada 14 Januari lalu selepas beberapa hari rakyat Tunisia melancarkan “Revolusi Melati”.

Seperti juga Ben Ali yang sebelum ini dianggap begitu berkuasa di Tunisia, Mubarak juga selama memerintah Mesir mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan tampuk kekuasaan yang begitu kukuh. Namun, akhirnya semua itu ranap setelah 18 hari rakyat Mesir berhimpun di Kaherah.

Khabarnya, setakat makalah ini ditulis, Presiden Yemen, Ali Abddullah Saleh dan Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika, semakin tidak senang duduk. Rakyat di kedua-dua buah negara sudah turun ke jalanan menuntut presiden negara masing-masing meletak jawatan. Sudah berlaku pertempuran dan kekasaran antara penunjuk perasaan dengan polis – persis bibit awal meledaknya revolusi di Tunisia dan Mesir.

Sudah ada “cakap-cakap” bahawa kononnya revolusi ini bakal merebak ke rantau sebelah sini. Bahkan, pada satu tahap, dalam laman blog dan laman sosial seperti facebook dan Twitter, sudah ada perbincangan kritis mengenai kemungkinan revolusi rakyat ini tercetus di Malaysia.

Penulis hanya mampu menggelengkan kepala apabila mendengar desas-desus tersebut. Dangkalnya pemikiran pihak yang membawa cerita itu.

Seluruh dunia menyaksikan bahawa revolusi rakyat di Timur Tengah tercetus ekoran rakyat di sana tidak berpuas hati dengan ketua negara masing-masing yang didakwa memerintah terlalu lama, hanya mementingkan diri sendiri, dan gagal melindungi kepentingan rakyat. Majoriti rakyat di negara bergolak itu hidup miskin, menganggur kerana tiada peluang pekerjaan, bahkan kehidupan mereka bagaikan “dirantai” oleh pemerintahan kuku besi.

Tinjau pula kehidupan rakyat Malaysia ketika ini. Adakah semua keperitan hidup rakyat di Timur Tengah itu dialami majoriti rakyat Malaysia? Berapa banyak rakyat Malaysia yang hidup dalam kebuluran? Berapa banyak peluang pekerjaan di Malaysia sehingga rakyat negara ini memilih pekerjaan yang tidak “mengotorkan” tangan mereka dan selebihnya diisi oleh warga asing? Berapa banyak kritikan sesuka hati secara terbuka, tajam, dan kritis yang dilemparkan kepada kerajaan di media alternatif seperti laman blog?

Jadi, atas rasional apakah revolusi rakyat yang berlaku di Timur Tengah itu berpotensi besar meletus di Malaysia? Atau sebenarnya pihak yang mahu mencetuskan revolusi di negara ini sebenarnya mempunyai agenda peribadi dan kepentingan politik?

Hakikatnya, ketika ekonomi domestik semakin berkembang; ketika perpaduan kaum diperkukuh semula; ketika gelora tsunami politik semakin reda; bukan masanya untuk pihak tertentu di negara ini bercakap soal revolusi rakyat. Banyak lagi urusan lain yang perlu dilakukan. Banyak lagi kerja lain yang perlu dibereskan.

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.