WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.227.104.40' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.227.104.40','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Pergolakan Politik Dunia Islam','/?p=1229','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh HARIS ZALKAPLI

Dunia Islam sepanjang 2010 menyaksikan banyak perkembangan penting dalam politik, memberikan kesan yang mendalam kepada politik serantau.

Daripada isu Palestin yang tidak pernah selesai hingga reaksi keras terhadap orang Islam semasa ulang tahun peristiwa serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat. Isu berkaitan umat Islam dan dunia Islam menjadi antara wacana utama dunia sepanjang tahun 2010. Malangnya, sebahagian besar wacana masih berjalan di bawah tajuk terorisme.

Negara seperti Turki, Pakistan dan Yaman mengisi berita utama hubungan antarabangsa hasil aktiviti mereka. Turki menjadi tumpuan, ekoran usaha diplomasi dan dasar luarnya, melibatkan misi bantuan ke Gaza, Palestin dan usaha diplomatik menangani rundingan nuklear Iran.

Isu utama politik dunia Islam ini menjelaskan perjalanan politik melibatkan negara Islam, dan memberikan kesan yang mendalam terhadap politik serantau dan global.

 

Rundingan Palestin-Israel Bersama Amerika Syarikat

Bermula September lalu, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu dengan pemimpin Arab dan Israel dalam usaha memulakan rundingan terbaharu Palestin-Israel. Rundingan bermula dengan majlis makan malam pada bulan Ramadan, yang turut dihadiri oleh Benjamin Netanyahu mewakili Israel, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Mesir Hosni Mubarak, Raja Abdullah dari Jordan dan Tony Blair, wakil Barat ke Asia Barat.

Rundingan yang dilihat dengan penuh skeptikal sejak awal rundingan oleh para pengkritik akhirnya memenuhi jangkaan ramai dan tidak mencapai sebarang kemajuan. Israel hanya bersetuju untuk membekukan pembinaan penempatan baharu di Tebing Barat buat sementara atas permintaan Palestin, yang merupakan syarat yang minimum.

Walau bagaimanapun, pembinaan tidak dihentikan,sementara pencabulan prinsip asas hak milik wilayah Palestin berterusan. Rundingan yang hanya disertai oleh wakil pihak berkuasa Palestin kumpulan Fatah sejak awal lagi jelas kelihatan tidak mewakili Palestin yang sebahagian besar penduduknya menyokong Hamas. Rundingan dan isu sekitarnya mendedahkan penguasaan kuasa besar terhadap kerajaan pusat Palestin.

Rundingan ini walau bagaimanapun gagal mencapai matlamatnya ekoran sikap Israel yang tidak berubah dan peranan Amerika Syarikat sebagai broker yang berat sebelah. Pihak berkuasa Palestin yang disokong Fatah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai wakil Palestin dalam rundingan, dan menegaskan lagi sikap Barat yang menolak Hamas.

 

Kontroversi Ulang Tahun 11 September 2001 di Amerika Syarikat

Ulang tahun kesembilan peristiwa serangan 11 September 2001 diingati dengan debat hangat berkaitan Islam yang dikaitkan dengan terorisme. Menjelang 11 September 2010, Paderi Terry Jones dari selatan Florida di Amerika Syarikat menyarankan supaya diadakan upacara pembakaran al-Quran sebagai protes terhadap Islam yang dikaitkan menjadi punca serangan sembilan tahun lalu.

Kempen itu mendapat respons pegawai tertinggi Amerika Syarikat yang menggesa tindakan itu tidak dilakukan untuk mengelak kesan negatif terhadap tentera Amerika Syarikat di negara Islam lokasi operasi. Di bandar New York, kontroversi tercetus ekoran rancangan untuk membina sebuah pusat Islam dan masjid tidak jauh dari lokasi serangan 11 September, 2001.

Pengkritik melihat pembinaan itu sebagai ofensif manakala penyokong usaha itu menolak pandangan itu yang mengaitkan Islam secara terus dengan terorisme. Presiden Obama bersetuju dengan cadangan pembinaan pusat Islam itu. Debat yang tercetus menyaksikan masih ramai rakyat Amerika Syarikat mempunyai pandangan negatif terhadap umat Islam dan agama Islam.

Isu ini menjadi satu wacana agama yang hangat di Amerika Syarikat dan kesannya secara langsung terhadap imej Islam di negara itu dan juga kepada Presiden Obama. Isu yang tercetus ini bakal memberikan kesan terhadap keputusan pilihan raya pertengahan penggal Kongres Amerika Syarikat.

 

Pilihan Raya Parlimen Mesir dan Kedudukan Rejim Hosni Mubarak

Pilihan raya presiden Mesir yang hanya dijadualkan hujung 2011 sudah mula diperkatakan dengan penuh minat oleh pemerhati sejak awal 2010. Teka-teki kedudukan Presiden Hosni Mubarak mula hangat apabila keadaan kesihatannya dilaporkan merosot, dan dijangka melepaskan jawatan. Perkembangan itu mencetuskan spekulasi bahawa anaknya, Jamal Mubarak bakal menjadi pengganti. Jangkaan tentang masa depan Mesir dan rejim Mubarak mencorakkan politik negara itu sepanjang 2010.

Antara spekulasi yang tercetus ialah rejim Mubarak berusaha memuaskan hati Barat dan Israel untuk mendapat sokongan mempertahankan kuasa dalam pilihan raya akan datang. Tindakan Mesir terhadap Gaza dan Palestin memberi tanda kebenaran dakwaan itu. Dalam pilihan raya parlimen pada November 2010, kedudukan rejim Mubarak terjawab sebahagiannya apabila parti Mubarak menang besar menewaskan pesaing gerakan Ikhwan al-Muslimin. Pilihan raya parlimen itu memberi petanda rejim Mubarak yang lebih kuat dan selesa untuk menghadapi pilihan raya presiden 2011.

Politik Mesir akan menyaksikan pertarungan – atau mungkin juga kemenangan mudah – dalam pilihan raya presiden pada tahun ini. Keputusan pilihan raya ini memberi kesan kepada hubungan Mesir dengan negara jiran termasuk Israel yang bersama-sama mengepung wilayah Gaza. Bagi Israel, Mesir yang masih kukuh di bawah Mubarak selari dengan kepentingannya untuk tidak melihat kumpulan Islamis menguasai Parlimen Mesir. Kemenangan parti Mubarak menjejaskan prospek pembangkang dan menjadikan harapan demokrasi di Mesir semakin kelam.

 

Hubungan Syria-Iran dan Lubnan

Lubnan menjadi perhatian dunia bukan akibat tindakannya sendiri sahaja, tetapi hasil daripada permainan politik kuasa yang menjadikannya medan persaingan kuasa. Syria mahu kembali sebagai kuasa utama di negara itu. Iran, sekutu Syria sejak lebih 30 tahun lalu mahu mengekalkan pengaruhnya di Lubnan, pada masa yang sama berdepan tekanan daripada Amerika Syarikat.

Washington pada 2010 meningkatkan usaha menjarakkan Damsyik dengan Tehran, sebagai satu cara menghakis pengaruh Iran di Lubnan, yang dilaksanakan melalui kumpulan Hizbullah. Hizbullah turut menerima bantuan daripada Syria, tetapi mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan institusi agama di Iran. Sepanjang 2010, Lubnan menjadi berita penting politik Asia Barat.

Pada awal tahun, pertemuan ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah, dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad, dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, di Damsyik memberikan isyarat kekuatan pakatan tiga negara tersebut. Kemudian, pada Ogos, lawatan pemimpin Syria dan Arab Saudi ke Lubnan memberikan isyarat kesediaan kuasa terlibat dengan Lubnan untuk berkompromi.

Hubungan Syria dengan Iran menjadi pakatan dua negara yang paling hangat dibicarakan dalam politik Asia Barat. Titik pertemuan utama isu ini ialah gerakan Hizbullah di Lubnan, yang menjadi penentang Israel dan saluran untuk kedua-dua Syria dan Iran terlibat dalam politik Lubnan, sekali gus politik serantau melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Ujian terhadap hubungan panjang Damsyik dengan Tehran mencapai kemuncaknya pada 2010 dan memberikan impak kepada hubungan kuasa Asia Barat termasuk Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

 

Pilihan Raya dan Pembentukan Kabinet Iraq

Selama sembilan bulan sepanjang 2010, sejak Mac, berita politik Iraq didominasi proses demokrasi yang cuba diselesaikan tetapi berdepan pelbagai halangan. Perkembangan ini hanya berakhir pada Disember apabila parti dibina kumpulan etnik dan aliran agama berbeza akhirnya bersetuju berkompromi menubuhkan kerajaan perpaduan. Nuri al-Maliki dicalonkan sebagai perdana menteri ekoran persetujuan pada bulan November.

Usaha menubuhkan kerajaan terhalang apabila gabungan dikuasai Muslim Sunnah al-Iraqiyya diketuai Iyad Allawi memenangi kerusi terbanyak, sebanyak 91 kerusi, tetapi gagal membentuk kerajaan. Gabungan dikuasai Syiah pimpinan Nuri al-Maliki yang mendapat 89 kerusi terus berpengaruh dan mengakibatkan kedua-dua kumpulan tidak dapat mencapai persetujuan sehingga Disember, tarikh akhir yang ditetapkan undang-undang.

Iraq pada zaman kegemilangannya menjadi sebuah kuasa serantau, kini menjadi medan persaingan kuasa-kuasa utama. Pengaruh Iran ialah isu yang paling banyak dibicarakan berhubung percaturan geopolitik kuasa melibatkan Iraq. Kuasa asing di Iraq dan impaknya terhadap hubungan serantau menjadikan proses pembentukan kerajaan Iraq berlangsung lebih lama daripada yang sepatutnya. Hal ini menjelaskan kepentingan isu ini kepada politik serantau dan global.

 

Nuklear Iran dan Peningkatan Sekatan

Iran berdepan cabaran berhubung program nuklearnya sejak tahun 2002 apabila George W. Bush menjadi presiden di Amerika Syarikat. Kini, di bawah pentadbiran Obama, keadaan tidak berubah malah menjadi lebih buruk lagi. Rundingan demi rundingan tidak membawa sebarang kemajuan. Pada 2010, usaha diplomasi ditingkatkan lagi dengan pemain baharu Turki dan Brazil mengambil peranan sebagai orang tengah. Tiga negara tersebut mencapai persetujuan pada 17 Mei, 2010.

Perbincangan diadakan tanpa penglibatan kuasa besar. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah meneruskan usaha sekatan ke atas Iran. Pada bulan Jun, selepas berbulan-bulan rundingan, Majlis Keselamatan meluluskan sekatan pusingan keempat terhadap Iran, yang disifatkan sebagai sekatan paling ketat terhadap Iran. Kesatuan Eropah turut menjalankan sekatan dengan menghalang penglibatan dalam sektor tenaga Iran.

Selepas Iraq, negara jirannya Iran menjadi salah satu isu besar dunia Islam tahun 2010. Isu yang masih tidak dapat diselesaikan ini mentakrifkan hubungan Iran dengan Amerika Syarikat dan sekutunya di Asia Barat, terdiri daripada negara-negara Arab dan Israel. Amerika Syarikat melalui Majlis Keselamatan berjaya meningkatkan sekatan terhadap Iran, dan pemulihan hubungan dengan Rusia membantu usaha tersebut. Perkembangan berkaitan nuklear Iran ini dijangka terus meningkat pada tahun ini, ekoran kepentingan kuasa besar dalam hal ini.

 

Konflik Yaman

Yaman yang dilanda konflik ekoran pemberontakan kumpulan Syiah Zaidiyah di utara, pemisah berhaluan kiri di selatan dan kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab sejak tahun 2009 semakin menjadi perhatian kuasa besar dan masyarakat dunia pada 2010. Pada April 2010, pentadbiran Presiden Obama di Amerika Syarikat mengarahkan pembunuhan Anwar al-Awlaki, alim yang dikaitkan dengan Mejar Nidal Hassan, pakar psikiatri tentera yang dituduh terlibat membunuh 13 anggota tentera di Fort Hood, Texas dan Umar Farouk Abdulmutallab.

Pemuda Nigeria ini didakwa cuba mengebom sebuah pesawat menuju Detroit pada Disember, 2009. Kerajaan Presiden Ali Abdullah Saleh pula dilihat mengambil kesempatan daripada sokongan dan bantuan Washington bernilai AS$150 juta pada 2010, meningkat daripada AS$67 juta pada 2009 untuk memerangi al-Qaeda. Bantuan pada 2011 dicadangkan mencapai AS$250 juta. Yaman kini menjadi satu lagi medan operasi tentera Amerika Syarikat.

Perhatian terhadap Yaman meningkat pada 2010 dengan kaitan terorisme oleh al-Qaeda. Pertempuran melibatkan kerajaan dengan tiga kumpulan terbabit ditambah lagi dengan kehadiran tentera Amerika Syarikat dan bantuan Washington bagi tujuan ketenteraan. Hal ini meningkatkan konflik di Yaman, dan seterusnya meletakkannya sebagai salah satu medan perang utama dunia pada masa ini.

 

Peningkatan Pertempuran di Afghanistan

Tahun 2010, situasi perang di Afghanistan meningkat dengan penambahan tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat. Usaha dilakukan Amerika Syarikat dan kuasa Barat untuk berdamai dengan kumpulan tertentu dalam Taliban yang merupakan sebahagian etnik terbesar di Afghanistan, Pashtun. Kedudukan majoriti etnik Pashtun menjadikan mereka tidak boleh diabaikan atau dipinggirkan daripada sebarang usaha pembinaan negara Afghanistan.

Walaupun debat yang panjang tercetus akibat kesediaan Washington untuk menerima pemimpin tertentu Taliban, kumpulan yang dianggap sebagai pengganas, akhirnya Barat terpaksa menerima realiti berkaitan kedudukan Pashtun di Afghanistan. Ramai pemimpin Taliban, yang dianggap moderat, diajak menyertai arus perdana politik Afghanistan sebagai usaha menamatkan konflik.

Walau bagaimanapun, pertempuran meningkat pada tahun 2010. Menurut satu data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 6215 orang awam mati akibat konflik. Tentera pakatan Barat pula menyaksikan kematian 705 orang, satu rekod tertinggi, dengan 495 daripada jumlah itu tentera Amerika Syarikat, menurut pemantau iCasualties.

Afghanistan menjadi perang utama bagi kuasa besar Amerika Syarikat di bawah Presiden Obama, yang pada 2009 memilih untuk meningkatkan kehadiran anggota tentera di negara itu. Negara itu kini menjadi medan persaingan dan pada masa sama kerjasama kuasa termasuk Rusia, Iran, China, dan Pakistan. Hasil kepentingan tersebut, perkembangan di Afghanistan memberikan kesan besar kepada politik serantau dan dunia pada 2010.

 

Serangan Dron di Pakistan

Pakistan menjadi sebahagian medan operasi tentera Amerika Syarikat di Afghanistan sejak “perang menentang keganasan” bermula selepas serangan 11 September, 2001. Walau bagaimanapun, tahun 2010, operasi dron atau pesawat tanpa juruterbang oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat meningkat dengan drastik.

Pakistan menjadi medan perang berasingan yang kelihatan lebih dahsyat berbanding medan Afghanistan. Operasi serangan yang bermula di bawah pentadbiran George W Bush pada 2004 berjumlah 43 serangan dengan 405 kematian sehingga 2007, tetapi meningkat kepada 53 serangan pada 2009 dengan anggaran 400 hingga 709 kematian, termasuk orang awam.

Di bawah pentadbiran Barack Obama, serangan dron dipertingkatkan sehingga mencapai 113 serangan atau 117 menurut satu anggaran lain pada 2010, menyaksikan sehingga 937 kematian. Perang dron di Pakistan menjadi satu isu perundangan yang hangat diwacanakan, dengan timbul pandangan individu yang mengoperasikan dron terbabit boleh didakwa membunuh di negara serangan berlaku, kerana bukan sebahagian tentera yang boleh terlibat dalam perang menurut undang-undang antarabangsa.

Pakistan mengatasi Afghanistan sebagai isu utama politik dunia Islam ekoran perkembangan dalam serangan dron yang meningkat di negara itu. Selain perhatian media, pembunuhan itu juga mencetuskan debat dalam kalangan penguasa di Washington dan penentang kuasa Amerika Syarikat berhubung aspek perundangannya, memberikan kesan berpanjangan kepada hubungan Pakistan dengan Amerika Syarikat dan membentuk respons militan terhadap Amerika Syarikat.

 

Serangan Kapal Mavi Marmara dan Dasar Luar Turki

Insiden melibatkan serangan komando Israel ke atas kapal bantuan Turki, Mavi Marmara, yang menuju ke Semenanjung Gaza jelas sekali merupakan sebahagian daripada isu Palestin. Walau bagaimanapun, misi dan implikasi bantuan dan serangan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar luar Turki, di bawah kerajaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan hasil strategi Menteri Luar Ahmet Davutoglu.

Pelaksanaan dasar luar Turki yang bertunjangkan diplomasi serantau mencapai kemuncak tahun 2010 dengan isu Gaza dan diplomasi nuklear Iran, yang dilaksanakan Turki bersama-sama Brazil. Serangan terhadap Mavi Marmara mencetuskan implikasi yang luas dan berpanjangan di Asia Barat, walaupun hubungan Turki dengan Israel hakikatnya tidak banyak terjejas lebih daripada hal berkaitan Gaza dan Palestin. Peristiwa itu, yang menjadi berita global paling panas sepanjang 2010, menaikkan lagi nama Turki dalam dunia Islam, mengukuhkan namanya sebagai negara pembela Palestin.

Serangan ini, yang merupakan satu kesan pelaksanaan dasar luar Turki menduduki tempat pertama dalam politik dunia Islam kerana perhatian yang dicetuskan, dan dirasai di seluruh dunia hingga Malaysia. Isu ini juga memberikan impak besar kepada politik serantau, meningkatkan kedudukan Turki di rantau Asia Barat. Kedudukan Turki sebagai kuasa diplomasi ini turut disokong oleh usahanya menangani isu nuklear Iran bersama-sama Brazil, dalam usaha yang dilakukan di luar pengaruh langsung Amerika Syarikat.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.