Oleh S.M. ZAKIR

Interlok novel karya Abdullah Hussain memenangi Hadiah Sagu Hati Peraduan Menulis Novel Sepuluh Tahun Merdeka. Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971. Pada tahun 2011 novel ini menjadi teks KOMSAS tingkatan lima untuk zon tengah. Novel ini menjadi kontroversi pada hujung Disember 2011 kerana dikatakan mempunyai perkataan ’paria’ yang menyinggung perasaan kaum India. Perkataan ’paria’ ini terdapat dalam bab Keluarga Maniam, ketika memerihalkan sejarah asal usul dan kedatangan Maniam ke Tanah Melayu.

Interlok sebuah novel sosial. Pengertian novel sosial merujuk novel yang mengangkat perjuangan golongan bawahan ataupun golongan tertindas sama ada menentang golongan yang mempergunakan mereka mahupun perjuangan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan status kelas mereka. Pengertian novel sosial mempunyai perbezaan yang sedikit dengan novel masyarakat.

Pengertian novel masyarakat lebih kepada bentuk novel yang mengangkat kisah masyarakat secara keseluruhan. Sementara novel sosial lebih merujuk secara khusus ideologi perjuangan kelas. Novel sosial lebih merupakan fiksyen realisme yang mengangkat kisah golongan bawahan secara langsung daripada peristiwa-peristiwa kecil kehidupan payah mereka dengan tujuan mendatangkan kesan perjuangan kelas terhadap pembaca.

Di Barat pengertian novel sosial muncul pada abad ke-18, sebagai reaksi terhadap isu sosial, politik dan ekonomi pada era revolusi perindustrian di Eropah. Pada tahun 1830-an, novel sosial muncul sebagai alat memprotes ketidakadilan yang menimpa golongan pekerja oleh dasar dan sistem kerajaan, pihak pemilik industri dan golongan berkepentingan dalam era baru perindustrian.

Protes dan kritikan daripada kisah keperitan dan penindasan terhadap golongan pekerja ini ditujukan kepada khalayak daripada golongan menengah untuk menarik simpati dan seterusnya bertindak untuk mengubah sistem perundangan, etika dan moral yang menindas golongan pekerja bawahan. Golongan menengah selalunya merupakan golongan yang berpengaruh dalam mendesak perubahan. Sokongan dan simpati daripada golongan menengah akan membantu perjuangan golongan bawahan ini. Perjuangan mengangkat keadilan untuk golongan bawahan ini banyak digerakkan oleh tokoh daripada golongan menengah pada hakikatnya.

Novel sosial yang muncul di Eropah pada dekad ini memberikan fokus kepada golongan pekerja yang miskin baik di desa mahupun di kota yang merupakan sisi gelap masyarakat pada era perindustrian. Novel sosial mengarah matlamat tematiknya kepada pembaikan pendidikan, hak politik, nasib golongan wanita dan buruh kanak-kanak, keadaan di kilang dan lombong, jenayah akibat suasana masyarakat yang sesak dan keadaan persekitaran yang buruk, serta segala macam akibat yang berlaku dalam usaha negara dan golongan elit mengejar matlamat kemajuan dan kekayaan.

Dalam konteks moral pula, pengarang novel sosial mengangkat nilai moral daripada norma kehidupan pinggiran golongan bawahan yang pada hakikatnya jauh berbeza daripada norma masyarakat atasan. Perbezaan yang memperlihatkan kebobrokan nilai moral yang melanda golongan bawahan selalunya dibandingkan dengan kehidupan mewah golongan atasan dengan tujuan memperlihatkan kealpaan dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan atasan hingga mengakibatkan kehidupan yang buruk kepada golongan bawahan.

Dalam banyak keadaan, hal ini selalunya diperlihatkan secara tidak langsung melalui perlambangan dan sebagainya. Novel sosial selalunya juga menumpukan perhatian kepada kehidupan daif golongan bawahan tanpa mempersalahkan mana-mana pihak secara langsung. Novel sosial lebih menekankan kritikan kepada sistem sosial yang muncul oleh keadaan yang mewakili era tertentu. Dari sini, tematiknya merungkai permasalahan sosial sebagai akibat sejarah dan mendesak cita-cita perjuangan untuk mengubah kehidupan dalam diri golongan bawahan dan menengah.

Secara keseluruhannya novel sosial menekankan cita-cita sosial, khusus golongan bawahan untuk mencapai matlamat kehidupan yang lebih sempurna. Perbezaan penting antara novel sosial dengan novel masyarakat ialah ideologi sosial. Novel sosial bergerak di atas ideologi sosial, dan kadangkala membawa propaganda tertentu terhadap matlamat dan cita-cita yang dikandunginya secara tematik. Novel masyarakat tidak memperlihatkan kecenderungan memaparkan ideologi yang khusus, sebaliknya hanya memaparkan peristiwa dalam kehidupan masyarakat yang meletakkan pengarang sebagai cermin yang membiaskan imej serta gambaran.

Interlok menghimpunkan watak daripada golongan bawahan, khususnya golongan pekerja yang berada di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 di bawah pentadbiran British. Secara lebih jelas masyarakat pekerja bawahan yang berada dalam lingkaran dunia perindustrian moden, seperti yang terdapat dalam novel sosial Barat yang mengetengahkan golongan bawahan dan pekerja dalam era kebangkitan revolusi perindustrian di Eropah. Golongan bawahan dan pekerja yang digambarkan dalam Interlok berada dalam sistem dan lingkaran ekonomi-politik era perindustrian, yakni golongan buruh yang ditarik dan digunakan tenaga mereka untuk sumber pengeluaran perindustrian.

Semua watak yang terdapat dalam Interlok berada dalam sistem sosio-ekonomi-politik era perindustrian moden. Dalam buku Keluarga Seman, Seman ialah perwakilan watak bangsa peribumi Melayu daripada golongan masyarakat bawahan yang menetap di kampung. Dalam sistem ekonomi-politik British, tanah jajahan merupakan tempat penyediaan bahan mentah untuk memenuhi keperluan perindustrian di England dan Eropah.

Di Tanah Melayu, British memperkenalkan ekonomi moden dalam konteks ruang tenaga buruh dan bahan mentah. Bagi mengekalkan kuasanya terhadap bangsa Melayu sebagai tanah jajahan, British melemahkan keupayaan orang Melayu dari segala segi sehingga melumpuhkan kekuatan orang Melayu, baik fizikal mahupun mental.

Orang Melayu menderita kehilangan kuasa politik melalui sistem politik residen British dan kemudian pentadbiran berpusat British, iaitu Malaya British Administration (MBA), yang memecahbelahkan kuasa politik sultan Melayu melalui zaman pengasingan dan pembonekaan yang disebut sebagai political disenfranchisement.

Ekonomi orang Melayu dilumpuhkan melalui peminggiran ekonomi dan pengasingan orang Melayu daripada kemodenan dari segi sosial. Orang Melayu ditutup peluang atau dipinggirkan dalam mobiliti sosial untuk mengekalkan mereka sebagai petani dan nelayan yang menyediakan logistik seperti bekalan makanan domestik kepada British (Collin Abraham, 2008).

Seman mewakili watak orang Melayu yang dilumpuhkan segala-galanya oleh British. Seman watak manusia desa yang tidak berpendidikan, kerana peluang pendidikan yang sangat terbatas disediakan oleh British. Hal itu diburukkan lagi oleh sikap Pak Musa yang menyembunyikan Seman daripada dihantar ke sekolah Melayu. Sikap Pak Musa mewakili sikap orang Melayu yang telah dilumpuhkan jiwa dan fikiran mereka oleh sistem pengasingan dan peminggiran British.

Seman muncul sebagai hasil daripada sistem penjajahan British yang berlangsung lebih dari lima dekad. Seman anak muda Melayu yang tidak berpendidikan, terasing daripada kemodenan, dan terpinggir daripada mobiliti sosial – kekal sebagai sumber pengeluaran bagi keperluan logistik (petani, pekebun dan nelayan) untuk British secara domestik di Tanah Melayu.

Dalam buku Keluarga Chin Huat pula, Chin Huat muncul sebagai wakil watak golongan pekerja yang ditarik datang ke Tanah Melayu oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh sektor ekonomi perindustrian British, yang berkaitan dengan pengeluaran dan perkhidmatan. Kehidupan miskin keluarga Chin Huat di tanah asal yakni sebuah desa kecil di Tanah Besar China menjadi faktor penolak Kim Lock (bapa Chin Huat) bersama-sama anaknya untuk keluar dari China dan mencuba nasib di Tanah Melayu. Ekonomi sumber perindustrian yang diperkenalkan British di Tanah Melayu menjadi faktor penarik untuk kaum pendatang ke Tanah Melayu.

Di Tanah Melayu, lombong bijih timah dibuka, perdagangan eksport-import digiatkan, dan sektor perkhidmatan membuka peluang besar kepada tenaga buruh mahir dan kurang mahir. Sistem kongsi bagi tenaga buruh dari China yang diperkenalkan oleh British sangat buruk. Hal ini membawa orang Cina sebagai buruh dalam keadaan miskin dan kesihatan yang buruk. Dalam persaingan yang sengit penawaran tenaga buruh, orang Cina terperangkap untuk menawarkan tenaga buruh yang termurah sama ada dalam sektor perlombongan milik British mahupun sektor perkhidmatan lain. Ia menawarkan apa yang disebut sebagai ‘survival of the cheapest’.

Begitu juga yang berlaku kepada kaum India yang datang ke Tanah Melayu oleh faktor penolak dan penarik yang sama. Dalam buku Keluarga Maniam, digambarkan Maniam dalam bulan Julai 1910 telah belayar bersama mereka yang lain dalam sebuah kapal penumpang yang bertolak meninggalkan Pelabuhan Nagapatam ke Pulau Pinang. Mereka tenaga buruh yang berangkat melalui kangani iaitu wakil yang mencari buruh untuk kebun dan ladang getah di Tanah Melayu. Dalam kapal tersebut, digambarkan terdapat 120 orang penumpang yang datang dari pelbagai daerah di India, iaitu Pondicherry, Pulikat, Madras, Malabar, Kerala dan Hyderabad.

Mereka semua bercakap dalam bahasa Tamil, walau ada yang bercakap dalam bahasa Malayali dan Telugu, iaitu bahasa dalam rumpun bahasa Tamil, yakni rumpun bangsa Dravida. Dalam pada itu, digambarkan bahawa semua yang berada dalam kapal bersama-sama Maniam pada ketika itu tergolong dalam kasta yang sama, yakni kasta paria.

Kasta paria merupakan kasta rendah di India yang tersisih akibat sistem kasta yang diamalkan di India. Secara sosiologi, mereka mewakili golongan bawahan yang tertindas di negara mereka sendiri, dan ini salah satu faktor penolak yang penting dalam konteks kedatangan golongan pekerja dari India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

Namun begitu, tidak semua kaum India yang datang ke Tanah Melayu daripada kasta Paria. Hal ini digambarkan dalam Interlok; terdapat pekedai berkasta tinggi di Pulau Pinang ketika Maniam datang membeli dan melihat tiada amalan penyisihan berdasarkan kasta berlaku di Tanah Melayu. Maniam watak yang diangkat sebagai perwakilan golongan pekerja bawahan yang tertindas oleh sistem ekonomi-politik British di Tanah Melayu ketika itu. Watak Maniam daripada kasta rendah ini diangkat sebagai subjek sosiologi dan diberi fokus utama dalam menggambarkan perjuangan dan mobiliti sosial yang berlaku terhadap kaum India dalam sistem ekonomi-politik British pada awal abad ke-20.

Maniam bukanlah kenyataan daripada keseluruhan kaum India yang datang ke Tanah Melayu pada ketika itu, tetapi hanyalah watak tipa dalam sebuah novel sosial yang mengangkat ideologi sosial perjuangan golongan bawahan. Orang India yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai buruh dalam sektor ekonomi British juga dibawa dalam kemiskinan dan kesihatan yang buruk.

Mereka hidup dalam sistem kangani yang menyaksikan mereka diperas oleh elit pekerja daripada golongan mereka sendiri. Dalam sistem kangani yang diperkenalkan oleh British ini orang India yang datang sebagai buruh hidup yang disebut sebagai ‘internal colonisation’, yakni mengalami penjajahan dalaman dan akhirnya hidup tanpa harapan untuk melebihi apa-apa yang ada pada mereka.

Dalam melaksanakan dasar pecah dan perintah, British menemui peluang besar dalam memastikan kekuasaan mereka terus dikekalkan melalui suasana sosial yang hadir pada awal abad ke-20 ini. Kewujudan dua kaum pendatang yang besar populasinya di Tanah Melayu dilihat dapat dieksploitasi bagi mengimbangi kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat peribumi yang berpotensi mencabar kekuasaan British. British mengambil peluang daripada suasana sosial masa ini untuk menanamkan perasaan curiga antara etnik dan mewujudkan antagonisme etnik.

Dari sini British membentuk stereotaip etnik, iaitu etnik dengan bidangan masing-masing, sekali gus menjarakkan satu etnik dengan etnik yang lain bagi mengembangkan perasaan curiga dan prasangka yang tidak berkesudahan antara etnik. Stereotaip etnik ini menjadi cara membentuk prinsip pemerintahan dan kawalan kuasa.

Perkara ini juga menjadi asas pengabasahan penguasaan kolonial dalam mewujudkan polarisasi kaum. Kolonial British melalui polisi pecah dan perintah menyerapkan prinsip ‘consciuosness of kind’, iaitu dalam memastikan kelangsungan, setiap orang berjuang berdasarkan ruang kepentingan kaum masing-masing. Ertinya, dalam lingkungan kaum yang sempit.

British akhirnya menikmati kemewahan daripada penindasan melalui kotak kaum ini atau dikatakan sebagai ‘icing on the racial polarisation cake’. British meninggalkan masyarakat yang dipolarisasi ini tiada pilihan lain selain bergantung pada golongan elit kaum masing-masing. Golongan elit ini pula, dalam berjuang untuk memenuhi keperluan kaum masing-masing, mengambil kesempatan mengaut kekayaan dan kepentingan untuk diri mereka. Apabila melihat konteks agenda ekonomi-politik British, isu perkauman dan polarisasi kaum ini adalah natijah daripada ‘capitalist mode of production’, yang mengaburkan perbezaan kelas dengan perbezaan dan permusuhan kaum.

Hal ini dapat menyelamatkan kelas atasan daripada penyatuan kelas bawahan untuk menentang mereka, secara langsung melumpuhkan rakyat – melalui isu dan sentimen perkauman. Pengagihan faedah kepada rakyat juga ditentukan mengikut keperluan kaum berdasarkan kepentingan kesinambungan kuasa politik British. Polarisasi kaum ini hasil daripada proses pemetakan yang dikemukakan oleh British, dan memberikan persepsi bahawa setiap etnik bermusuh antara satu sama lain (Collin Abaram, 2008).

Interlok membawa persoalan ini melalui garapan perjuangan golongan bawahan yang berada dalam ’kawah gula’ ekonomi perindustrian British secara cukup berseni melalui penyatuan tiga etnik yang akhirnya membina negara Malaya yang merdeka (kemudiannya menjadi Malaysia). Penyatuan tiga etnik secara ideal dalam Interlok ini memperlihatkan lambang penentangan terhadap dasar antagonisme etnik yang diwujudkan oleh British, sekali gus mewujudkannya sebagai novel sosial yang bukan sahaja membawa ideologi penyatuan etnik yang kuat, tetapi juga ideologi penentangan terhadap kelas atasan yang terdiri daripada penjajah British, pemodal dan konco British yang terdiri daripada pembelot bangsa.

Sesuatu yang malang apabila novel sosial yang mengangkat tema perjuangan kelas bawahan ini ditutup dengan isu perkauman yang sempit dan dangkal demi kepentingan politik perkauman. Perkataan ’paria’ tidak mungkin dibuang kerana menjelaskan secara sejarah pergerakan sosial daripada golongan bawahan yang paling hina kepada golongan yang berjaya dan dihormati.

Tanpa memperkenalkan Maniam sebagai seorang daripada kasta ’paria’, suatu bentuk pemaparan mobiliti sosial tersebut tidak dapat dilakukan dengan munasabah dan berkesan. Interlok ialah sebuah novel sosial yang tidak ada kena mengena dengan sebarang bentuk perlakuan untuk menghina mana-mana etnik, sebaliknya memaparkan seideal mungkin sifat menghormati antara satu sama lain yang menuju kepada ideal penyatuan antara etnik, khususnya daripada kalangan masyarakat bawahan.

Share

2 Maklum Balas

  1. Syarul Komen:

    Tulisan ini amat bermanfaat buat saya.

    Dihantar pada 5 Mei, 2011, 11:13 am

  2. zaleha Komen:

    Novel Interlok tidak bermasalah. Yang bermasalah ialah masyarakat kita, terutamanya ibu bapa para pelajar yang tidak memberi gambaran yang lebih muhibah terhadap pelbagai kaum. Jadi apabila isu yang diutarakan dalam novel tersebut dibawa ke hadapan, segelintir kaum tersebut secara automatik menghidupkan sikap defensif, sedangkan sekumpulan kaum lain pula menghidupkan sikap membela. Hal ini akan sentiasa berlaku jika masyarakat tidak punya sikap ingin memahami antara satu sama lain, dan tidak sanggup untuk keluar daripada kepompong diskriminasi mereka, baik golongan minoriti “yang kononnya tertindas” ataupun golongan majoriti. Jelaslah, rakyat Malaysia rata-ratanya sebuah masyarakat yang masih curiga terhadap jiran mereka sendiri. Patutlah kita jarang melihat orang kita yang duduk dalam LRT memberi tempat kepada mereka yang memerlukan. Kita, secara zahirnya, gagal memahami diri sendiri, apatah lagi orang lain.

    Dihantar pada 15 Mei, 2011, 10:48 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.