WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.81.71.219' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.81.71.219','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Harta Intelek Sumber Kekayaan Baharu Negara','/?p=1217','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Oleh NAZRUZILA RAZNIZA MOHD. NADZRI

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Harta Intelek 2004 bertitah, tahap perlindungan harta intelek dan pemeliharaan hak pencipta dan pereka sesuatu harta intelek di negara ini masih terkebelakang jika dibandingkan dengan negara maju.

Hasil ciptaan warga tempatan yang difailkan untuk mendapatkan hak paten masih berada pada tahap yang rendah, iaitu purata lima peratus atau 300 permohonan daripada purata permohonan setiap tahun. Sejumlah 95 peratus permohonan yang dikemukakan ke Pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah dari luar negara.

Kebimbangan Sultan Azlan Shah masih dirasai apabila hanya sedikit peningkatan yang ditunjukkan dalam statistik terbaharu oleh MyIPO. Sehingga November 2010, 14 peratus sahaja daripada keseluruhan permohonan yang memperoleh hak paten terdiri daripada masyarakat tempatan yang mewakili 836 daripada 5781 permohonan.

Daripada jumlah tersebut, hanya 164 permohonan telah dibenarkan. Jumlah ini mewakili sembilan peratus hak paten kepunyaan masyarakat tempatan dalam tempoh tersebut. Selebihnya kepunyaan pihak luar. Hal ini menunjukkan hak paten warga tempatan masih rendah jika dibandingkan dengan hak paten dari luar negara.

Asal-usul kelahiran harta intelek sendiri masih samar dalam kalangan ahli akademik. Walau bagaimanapun, hak paten pertama telah diakui diberikan oleh Raja Henry VI pada 1449 kepada seorang lelaki Belgium untuk memonopoli pembuatan stained glass di England.

Istilah harta intelek dikatakan berasal dari Eropah pada kurun ke-19. Penulis Perancis, A. Nion, menyebut “proprite intellectualle” dalam tulisannya Droits civils des auters artistes et inventeurs, yang diterbitkan pada tahun 1846 dan mungkin istilah ini telah pun diguna pakai lebih awal daripada itu.

Secara umum, “harta intelek” bererti harta hasil kreativiti manusia yang mempunyai nilai komersial. Harta intelek merangkumi pelbagai bentuk seperti idea, karya fiksyen, puisi, lagu, reka bentuk dan hasil seni, nama produk, proses mekanikal, formula kimia, mesin dan perisian. Kini perlindungan harta intelek yang kerap dibincangkan turut melindungi penemuan dan perkembangan teknologi seperti internet, bioteknologi dan nanoteknologi.

Rentetan daripada maksud yang luas tersebut, kini perlindungan harta intelek menjadi perhatian utama. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pihak tertentu yang menyedari nilai kekayaan yang mampu dijana daripada hasil usaha golongan intelek tersebut, lalu mengeksploitasinya. Mereka mengambil kesempatan akibat kelalaian golongan ini yang memandang mudah tentang kepentingan melindungi usaha dan penemuan intelek.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam rencana akhbar Era Baru yang disiarkan pada 11 Oktober 2007 menyebut, dalam kalangan bangsa Eropah, apa-apa juga ilmu atau kejadian dicatat dan disimpan. Masing-masing berbangga dengan ilmu terutama yang dirintis dan dipelopori mereka. Generasi yang berikutnya akan mewarisi ilmu dan pengetahuan generasi yang lepas, lalu terus mengkaji dan menambah apa yang diwarisinya. Semakin lama semakin bertambahlah jumlah ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh anggota masyarakat Eropah.

Demi memastikan hasil ilmu yang diterokai atau dicipta terus dinikmati oleh sesebuah bangsa, undang-undang perlu diadakan supaya hak cipta berkenaan dipelihara. Perlindungan ini dihadkan dalam jangka masa tertentu. Apabila perlindungan ini tamat, hasil cipta serta penerokaan beralih menjadi milik masyarakat.

Dengan undang-undang perlindungan ini, aktiviti kaji selidik dan penerokaan menjadi satu perkara yang diminati dan lambat-laun boleh membentuk sebuah industri. Hari ini, perniagaan atau industri mempunyai kemudahan dan bahagian kaji selidik sepenuh masa.

Walau bagaimanapun, proses kaji selidik menelan belanja yang tinggi. Syarikat, peniaga dan pengusaha menampung kos perbelanjaan kerja kaji selidik melalui harga jualan bagi meneruskan kajian ke atas penemuan tersebut. Konsep ini dicipta oleh negara kaya dan berkuasa besar supaya keuntungan syarikat mereka mencapai tahap yang tinggi. Oleh sebab kos kaji selidik begitu tinggi, harta intelek jarang-jarang dimiliki oleh negara dan bangsa yang miskin.

Tidak dinafikan, usaha penerokaan ke arah pembangunan harta intelek memerlukan kos yang besar dan lebih memihak kepada negara maju yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi. Namun, aspek lain yang lebih utama ialah usaha penerokaan tersebut, inilah kunci utama kepada penemuan harta intelek.

Wujud salah anggap dalam kalangan saintis tempatan. Undang-undang penjagaan harta intelek kita sebenarnya lebih tertumpu untuk menjaga kepentingan harta intelek asing kerana saintis dan jurutera kita tidak membuat penemuan.

Undang-undang penjagaan harta intelek negara digubal dengan mengambil kira kriteria dan standard yang dikehendaki oleh badan-badan dunia, misalnya Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) dan Perjanjian mengenai Aspek Berkaitan Hak-hak Harta Intelek (TRIPS). Oleh sebab Malaysia menjadi ahli WIPO dan TRIPS, undang-undang penjagaan harta intelek negara sebenarnya memberikan perlindungan kepada semua pereka, saintis dan jurutera, tidak kira rakyat asing atau tempatan. Isu para saintis tempatan tidak membuat penemuan adalah tidak tepat.

Para saintis dan jurutera tempatan di institusi penyelidikan awam dan swasta di negara ini terlibat dalam banyak aktiviti penyelidikan dan pembangunan, dan menghasilkan pelbagai penemuan. Walau bagaimanapun, bilangan harta intelek yang didaftarkan hasil daripada penemuan dan pembangunan masih rendah.

Antara faktor yang menyebabkan kurangnya bilangan harta intelek yang didaftarkan oleh saintis dan jurutera tempatan termasuklah kurangnya kesedaran institusi tempatan terhadap faedah dan kos yang berkaitan dengan hak harta intelek dan pentingnya perlindungan harta intelek. Perkara ini dibuktikan melalui statistik permohonan hak paten oleh warga tempatan yang dikemukakan oleh MyIPO. Selain itu, pihak institusi juga tidak mempunyai peruntukan kewangan yang cukup untuk membiayai bayaran pendaftaran penemuan yang dihasilkan oleh saintis dan jurutera tempatan.

Bagi menggalakkan lebih banyak harta intelek saintis dan jurutera tempatan didaftarkan, pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan. Antaranya termasuklah menyediakan dana dan pembangunan menyeluruh yang merangkumi pembiayaan bagi perbelanjaan pendaftaran harta intelek bagi menggalakkan penerima dana dan pembangunan awam mendaftarkan penemuan mereka.

Perlindungan harta intelek di Malaysia terdiri daripada paten, cap dagang, reka bentuk perindustrian, hak cipta, indikasi geografik dan reka bentuk susun atur litar bersepadu. Setiap satu hak harta intelek mempunyai peruntukan undang-undang yang khusus dan berlainan.

Contohnya perlindungan terhadap paten di bawah Akta Paten dan Peraturan-peraturan Paten 1996. Perlindungan cap dagang di bawah Akta Cap Dagang 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagang 1997. Perlindungan reka bentuk perindustrian di Malaysia di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996. Akta Hak Cipta 1987 menyediakan perlindungan komprehensif untuk kerja-kerja yang boleh dihakciptakan. Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 menyediakan perlindungan bagi reka bentuk susun atur litar bersepadu berdasarkan keaslian, ciptaan perekanya sendiri dan hakikat bahawa ciptaan dibuat secara bebas.

Akta Indikasi Geografik 2000 menyediakan perlindungan setelah barang didaftarkan mengikut nama tempat barang tersebut dikeluarkan. Barang di bawah akta ini seperti wain, keluaran pertanian dan kraftangan.

Walau bagaimanapun, peruntukan undang-undang yang sedia ada kini dibimbangi tidak meluas untuk melindungi penemuan baharu seperti bioteknologi dan nanoteknologi. Dalam tulisan Dr. Ida Madieha Abdul Ghani Azmi, “New Development in Life Sciences, Biotechnology and Patents in Malaysia: Emerging Concerns”, beliau menyatakan bahawa undang-undang paten yang sedia ada dirangka sebelum era perkembangan bioteknologi. Oleh sebab itu, menjadi keperluan untuk mengembangkan undang-undang paten, bagi memastikan ciptaan dan penemuan dalam bidang bioteknologi turut disokong oleh paten.

Secara ringkas, dapat dijelaskan bahawa gabungan peruntukan undang-undang untuk melindungi harta intelek, sokongan dana oleh kerajaan untuk membiayai kos penerokaan dan kajian yang mencakupi kos pendaftaran penemuan tersebut sebagai harta intelek yang mempunyai pemilik, sebenarnya mampu memastikan harta intelek menjadi sumber kekayaan baharu negara.

Namun, pemupukan kesedaran kepada para pengkaji, khususnya, dan individu, amnya, tentang kepentingan melindungi harta intelek serta menghormati harta intelek perlu dilipatgandakan. Tindakan menjual hasil penemuan kepada pihak asing demi keuntungan peribadi mestilah dihapuskan sama sekali. Kepentingan individu mestilah diketepikan demi kemajuan negara dan kemantapan bangsa. Sumber kekayaan baharu ini perlu dipelihara dan terus dimantapkan.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.