WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
DELETE FROM wp_useronline WHERE user_ip = '54.162.173.119' OR timestamp < CURRENT_TIMESTAMP - 300

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
INSERT INTO `wp_useronline` (`user_type`,`user_id`,`user_name`,`user_ip`,`user_agent`,`page_title`,`page_url`,`referral`) VALUES ('guest',0,'Guest','54.162.173.119','CCBot/2.0 (http://commoncrawl.org/faq/)','Dewan Masyarakat &raquo; Archive &raquo; Kontroversi Interlok: Sentimen Kaum Makin Tebal','/?p=1136','')

WordPress database error: [Table './dwnmasyarakat/wp_useronline' is marked as crashed and should be repaired]
SELECT COUNT(*) FROM wp_useronline




Sekumpulan 100 orang India bertindak membakar novel Interlok dan gambar penulisnya di Klang pada 9 Januari lalu. Mereka bertindak demikian kerana Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memenuhi desakan untuk menarik balik novel tersebut daripada dijadikan teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia (tingkatan lima).

Novel Interlok dikatakan menyinggung sensitiviti kaum India di negara ini. Perkataan “paria” menjadi titik tolak kontroversi. Mereka tidak gemar dikaitkan dengan kasta terendah dalam strata sosial masyarakat India. Novel itu juga dikatakan menggeneralisasikan sikap orang India yang tidak baik. Pokoknya yang diketengahkan dalam novel itu merendahkan martabat orang India. Maka novel itu perlu ditarik balik.

Besar sekali “kesalahan” penulis itu, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Abdullah Hussain, hingga menerima penghinaan sebegitu di tanah tumpah darahnya sendiri. Titisan air mata seorang SN dalam usianya 91 tahun menjadi sejarah gejala kebiadaban kumpulan yang daif ilmu itu. Beliau tidak dapat menahan kesedihan diperlakukan demikian. Tidak pernah terduga dalam usia sebegini karya beliau dianggap berbau perkauman. Selepas 40 tahun diterbitkan, baru sekarang dirasai sensitif kaum. Karya ini kebanggaan beliau berkat hidup bermasyarakat dengan pelbagai kaum, bersama-sama membangunkan negara.

Dengan menggunakan pendekatan kewartawanan, sebaik-baik mungkin beliau menggarap data yang diperoleh menjaluri kisah orang Melayu, Cina, dan India sebelum merdeka. Beliau menyingkap bagaimana orang Melayu dapat menerima kaum lain dan bagaimana bersama-sama ketiga-tiga kaum ini bekerjasama dan memainkan peranan dalam mencapai kemerdekaan. Novel tersebut seharusnya dilihat sebagai sejarah milieu sosial masyarakat pada zaman itu yang difiksyenkan.

Namun sayang sekali kumpulan itu tidak menyelami keseluruhan cerita yang membawa mesej yang besar kepada rakyat Malaysia – perpaduan dan kebebasan. Niat seorang sasterawan untuk menggambarkan kebebasan dan perpaduan melalui karya kreatifnya langsung tidak mendapat perhatian. Tidak mungkin mereka tidak memahaminya kerana sebagai warganegara Malaysia tentu mereka boleh berbahasa kebangsaan. Atau mereka tidak membaca pun keseluruhan novel tersebut, tetapi dibahangi emosi golongan yang ingin menangguk di air keruh.

Pembakaran Interlok lambang kecetekan pemikiran sekumpulan rakyat Malaysia yang sepatutnya maju pada abad ke-21 ini. Adakah dengan membakar novel tersebut, hakikat sejarah dapat dikuburkan? Atau dapat dinafikan susur galur keturunan tidak kira apa-apa kasta sekalipun? Bukankah itu hierarki sistem kasta yang ditetapkan oleh agama Hindu, agama yang dianuti majoriti orang India itu sendiri?

Lihat sahaja gerakan pihak Nazi membakar berpuluh-puluh ribu buah buku yang tidak sealiran dengan ideologinya pada 1933. Tulisan Albert Einstein, Ernest Hemingway, Sigmund Freud, Karl Marx, dan banyak lagi menjadi abu. Namun, sehingga hari ini adakah pihak Nazi berjaya menghapuskan aliran pemikiran mereka atau menafikan kehebatan pemikiran mereka?

Dalam konteks Malaysia, desakan yang dibuat oleh beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan yang majoriti ahlinya kaum India ibarat ugutan. Jika tidak ditarik balik novel itu, pembakaran demi pembakaran akan dianjurkan di merata tempat di Malaysia. Yang pertama telah pun dikotakan di Klang. Mereka percaya tuntutan mereka akan dipenuhi, meskipun kajian dan perbincangan akademik memihak kepada Interlok. Hal ini demikian kerana mereka yakin kepentingan politik yang akhirnya akan diberikan keutamaan.

Isu hubungan dan sensitiviti kaum dijadikan pertaruhan kali ini. Kerapuhan hubungan antara kaum semakin memungkinkan pihak berkepentingan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan apa-apa sahaja isu yang difikirkan boleh mendatangkan manfaat peribadi mahupun kumpulan.

Keadaan ini adalah natijah daripada kepercayaan yang semakin luntur antara kaum. Orang Cina dan India berasa diketepikan, manakala orang Melayu berasa hak mereka cuba dirampas melalui tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh kaum lain. Semakin lama sentimen perkauman semakin tebal, jika masing-masing tidak balik ke pangkal jalan untuk membina semula jambatan persahabatan.

Padilah Haji Ali
padilah@dbp.gov.my

Share

1 Maklum Balas

  1. Syarul Komen:

    Suatu kupasan yang tidak emosional tetapi rasional. Tahniah.

    Dihantar pada 21 Mei, 2011, 11:09 pm

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.