“Selain peperangan dan hari kemerdekaan, sukan merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk kami membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.” Demikian penjelasan salah seorang pegawai kanan Kementerian Persamaan Gender dan Keluarga, Korea Selatan, kepada penulis.

Penulis berkunjung ke Korea Selatan pada pertengahan tahun lalu untuk menyertai Program  Pertukaran Pemimpin Belia Malaysia-Korea. Seperti Malaysia yang mengalami masalah keterhakisan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, Republik Korea Selatan juga menghadapi masalah yang sama. Kerajaan Korea mengatur pelbagai program sosial untuk menyelesaikan masalah ini tetapi hasilnya kurang berkesan.

Namun seperti yang dinyatakan oleh pegawai kanan terbabit, mereka (Kerajaan Korea) mendapati bahawa sukan menjadi salah satu cara yang paling berkesan untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda mereka. “Misalnya, apabila ada perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan Korea, dapat disaksikan generasi muda Korea dengan bangganya mengibarkan bendera Korea, mengecat muka mereka dengan bendera Korea, malah menyanyikan lagu kebangsaan Korea dengan penuh semangat,” jelas pegawai kanan terbabit.

Kata-kata beliau itu terus terngiang-ngiang di telinga penulis apabila baru-baru ini skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki. Bermula daripada pertandingan separuh akhir kejohanan itu yang menyaksikan Malaysia menentang Vietnam sehinggalah perlawanan akhir yang menyaksikan Malaysia menumbangkan Indonesia, majoriti rakyat di negara ini terutamanya generasi muda begitu “fanatik” menyokong skuad bola sepak kebangsaan.

Semasa perlawanan akhir peringkat pertama di Kuala Lumpur mahupun peringkat kedua di Jakarta, rakyat Malaysia dengan bangganya mengibarkan Jalur Gemilang. Di stadium mahupun di kedai mamak, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa bersungguh-sungguh memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan yang sedang beraksi di padang. Ada yang bersorak, ada yang menjerit, malah ada yang “lupa diri” apabila skuad kebangsaan berjaya menjaringkan gol.

Begitulah hebatnya “kuasa” sukan. Mutakhir ini, sukan bukan lagi sekadar permainan kerana impaknya meliputi banyak perkara. Dalam konteks Malaysia, sukan bukan sahaja membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, malah meruntuhkan tembok pemisah antara kaum dan menjadikan semua rakyat Malaysia bersatu di bawah satu bendera.

Sebelum ini banyak pihak yang merungut kerana generasi muda di negara ini tidak mempunyai semangat patriotisme, sekarang nampaknya kita sudah menjumpai salah satu formula untuk menyelesaikan masalah ini. Tidak mustahil, jika kita bijak untuk memanfaatkan formula ini, hasilnya boleh menyelesaikan banyak perkara melibatkan generasi muda.

Mohd. Shukri Mohd. Ariff
shukri_m@dbp.gov.my

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.