Teks ucapan ini telah disampaikan oleh Allahyarham Tun Syed Nasir di hadapan para sarjana dan mahasiswa di Universiti Malaya, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 1964, iaitu tiga tahun sebelum bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi tunggal Malaysia. Teks ucapan ini telah tersiar dalam Dewan Masyarakat, Hlm. 6 – 8, Jilid II Bil. 6 Jun 1964.

Pada ketika itu lagi, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menyatakan hasrat untuk melihat bahasa kebangsaan diajarkan kepada pelajar bukan Melayu dan pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Amanat beliau mengandungi harapan yang amat tinggi agar bahasa kebangsaan dapat dijadikan sebagai bahasa pengantar untuk universiti di Malaysia. Kini, setelah 46 tahun berlalu, harapan pejuang bahasa terkemuka ini akhirnya dapat dilaksanakan secara rasmi.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan perasaan gembira saya kerana dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini dalam majlis yang mempunyai makna dan kepentingan yang amat besar kepada kita hari ini, iaitu majlis menyambut gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini, lebih-lebih lagi saya merasa gembira kerana tuan-tuan dan puan-puan yang berkumpul pada pagi ini adalah terdiri dari kaum cerdik pandai negeri ini, mahaguru, sarjana, pensyarah dan mahasiswa. Dengan kesedaran dan sambutan baik yang tuan-tuan dan puan-puan tunjukkan kepada bahasa kebangsaan pagi ini saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa dalam masa yang tidak berapa lama lagi bahasa kebangsaan akan mendapat tempat yang istimewa di universiti ini sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

1967 … Tetap!

Dalam tahun 1967 bahasa kebangsaan akan tetap diisytiharkan sebagai bahasa rasmi yang tunggal di negeri ini. Ini adalah suatu kebenaran yang tidak dapat kita elak lagi. Mahu tidak mahu kita mestilah bersiap sedia untuk menerima bahasa itu sebagai bahasa rasmi kita yang tunggal pada tarikh tersebut. Tetapi bagi tuan-tuan dan puan-puan kebenaran ini mempunyai makna yang lebih besar, iaitu tuan-tuan mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini. Sesungguhnya inilah matlamat akhir yang dicita-citakan oleh kerajaan dan rakyat negeri ini.

Kerajaan, seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum telah dan sedang membuat beberapa perubahan yang besar dalam sistem pelajaran negeri ini sesuai dengan keperluan bahasa yang timbul selepas negeri ini mencapai kemerdekaannya. Kerajaan telah menubuhkan sekolah-sekolah menengah yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantarnya yang tunggal dan bahasa Inggeris dijadikan suatu mata pelajaran yang dimestikan. Dalam tahun 1965 murid-murid dari sekolah menengah Alam Shah akan memasuki universiti ini. Di samping itu, perundingan sedang dijalankan antara Kementerian saya dengan Lembaga Peperiksaan Tempatan Cambridge untuk mengadakan peperiksaan masuk ke universiti ini dalam bahasa kebangsaan, dan langkah pertama untuk membanyakkan darjah Tingkatan VI di sekolah menengah kebangsaan sedang dirancangkan dengan sungguh-sungguh sekarang ini.

Tidak Mahu Terasing

Inilah gelombang kemajuan yang sedang berlaku dalam sistem pelajaran kita khasnya dan dalam masyarakat negeri ini amnya di saat ini dan universiti ini sebagai puncak dari sistem pelajaran itu terpaksalah turut berubah. Kita tidak mahu universiti ini merupakan sebuah pusat pendidikan dan ilmu pengetahuan tinggi yang terasing dari seluruh sistem pelajaran yang baharu itu. Lebih-lebih lagi kita tidak mahu timbulnya nanti desakan yang kuat supaya sebuah universiti lain ditubuhkan untuk menampung penuntut dari sekolah menengah kebangsaan itu. Kerana adalah menjadi hasrat dan cita-cita kerajaan dan rakyat negeri supaya universiti yang sudah sedia ada ini berubah atau diubahkan sesuai dengan namanya sebagai sebuah universiti kebangsaan kita. Pada fikiran saya tentulah tidak wajar kalau universiti ini kekal sebagaimana biasanya sedangkan asasnya, iaitu sekolah rendah dan menengah, sudah mengalami perubahan yang begitu besar.

Kemungkinan untuk memulakan dua bahasa pengantar di universiti ini iaitu bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan – sudah memang ada. Sekurang-sekurangnya dalam tahun 1965 sudah ada penuntut yang boleh menerima kursus di universiti ini dalam dua bahasa. Masalah sekarang ialah adakah mahaguru atau pensyarah yang boleh menyampaikan kuliah akademik dalam bahasa kebangsaan atau bolehkah mahasiswa bangsa asing yang sedang menuntut di universiti menerima kuliah dalam bahasa kebangsaan. Masalah ini saya akui memang sedang dihadapi oleh universiti ini sekarang tetapi masalah ini tetap akan tinggal sebagai masalah sekiranya permulaan yang tegas dan bersungguh-sungguh tidak dilakukan hari ini juga untuk mengatasinya. Berhubung dengan perkara ini saya merasa gembira melihat beberapa usaha yang sedang dijalankan oleh universiti ini ke arah mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan mahasiswa dan anggota perguruannya. Dengan adanya Kursus Sijil Bahasa Kebangsaan yang dikelolakan oleh Jabatan Pengajian Melayu, saya percaya dalam masa yang singkat semua mahasiswa dan anggota perguruan universiti ini akan dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Apa yang perlu juga ditegaskan ialah hendaknya kursus Bahasa Kebangsaan itu mestilah disusun dengan tujuan untuk membolehkan mahasiswa, mahaguru dan pensyarah universiti ini mengikut atau mengajar perkara akademik dalam bahasa kebangsaan. Langkah mempelajari bahasa itu semata-mata untuk boleh menulis dan bertutur sahaja. Yang paling baiknya, sukatan pelajaran Kursus Bahasa Kebangsaan ini sudah diubah untuk disesuaikan dengan mahasiswa bukan Melayu.

1965 – Dua Bahasa

Berdasarkan perkembangan yang sedang berlaku di universiti ini sekarang dan perkembangan yang berlaku dalam sistem pelajaran menengah, saya yakin dalam tempoh yang tidak lama

lagi, sekurang-kurangnya dalam tahun 1965, universiti ini sudah boleh mengadakan kursusnya dalam dua bahasa iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Tentulah beberapa masalah lain akan timbul bila dasar ini dilaksanakan secepatnya dan boleh jadi juga ada golongan yang akan terkejut atau yang akan meragukan kejayaan dasar ini.

Hal ini memang sudah menjadikan suatu adat atau kebiasaan bila perubahan besar berlaku dalam sesebuah masyarakat. Dahulu orang meragukan kesanggupan dan kesediaan negeri ini mencapai kemerdekaannya atas dasar bahawa kita belum banyak kelengkapan dan sebagainya. Tetapi bila kemerdekaan akhirnya tercapai kelengkapan yang diperlukan itu diadakan, kerana keadaan dan keperluan bahasa memaksa kita mengadakan kelengkapan itu. Demikianlah juga dengan soal hendak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini. Masalah kekurangan buku dan bahan bacaan lain dan kajian akademik dalam bahasa kebangsaan yang diperlukan oleh mahasiswa dan pensyarah akan timbul.

Tetapi masalah ini mahu tidak mahu akan diatasi setelah dasar menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini dilaksanakan dahulu. Sekiranya mahasiswa dan pensyarah di universiti ini dari sekarang sudah boleh mengikuti atau mengajar kursus dalam dua bahasa (iaitu bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan) saya rasa masalah bahan bacaan tidak timbul lagi. Bahan bacaan boleh diperoleh dari mana-mana sumber pun atau dalam apa-apa bahasa pun, tetapi alat pengantarnya boleh dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

Perasaan Takut

Seperkara lagi berhubung dengan soal ini ialah perasaan takut dan ragu-ragu bahawa taraf pengajian akademik universiti ini nanti akan jatuh kalau bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantarnya. Tetapi menurut hemat saya kalau setiap orang di universiti ini bersungguh-sungguh memainkan peranannya untuk menjadikan bahasa kebangsaan itu benar-benar cukup di jadikan bahasa pengantar universiti ini, saya percaya lambat laun perkara yang diragukan itu akan dapat dielakkan.

Apa yang sangat-sangat diharapkan di saat ini ialah supaya pihak yang berkuasa di universiti ini memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada bahasa kebangsaan. Kalau dahulu tuan-tuan dan puan-puan mengutamakan bahasa Inggeris, baik sebagai alat pengantar mahu pun sebagai alat pentadbiran universiti ini maka sekarang sudahlah tiba masanya tuan-tuan dan puan-puan mengalihkan perhatian itu kepada bahasa kebangsaan kita.

Jabatan Pengajian Melayu boleh memainkan peranan yang penting ke arah ini. Mahasiswa dalam jabatan ini mempelajari dan mengkaji perkara yang sama taraf akademiknya dengan

perkara yang diajar dalam jabatan lain. Cuma yang berbeza ialah Jabatan Pengajian Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya pada hal mahasiswa yang ada dalam jabatan ini datang dari sekolah menengah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.

Hakikat bahawa kebanyakan daripada mahasiswa itu terdiri daripada bangsa Melayu tidaklah bererti bahawa mereka sudah tentu boleh menguasai bahasa Melayu di peringkat yang tinggi umpamanya sebagai alat pengantar di universiti. Sekiranya Jabatan Pengajian Melayu dapat menjalankan kursusnya dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan, saya percaya jabatan lain, khususnya jabatan dalam Fakulti Sastera, tentu boleh berbuat demikian juga, walaupun ada permulaannya mungkin agak kekok sedikit.

Di samping itu sekolah pendidikan (school of education) yang baharu ditubuhkan di universiti ini akan memulakan satu tugas baharu, iaitu menyelidik tentang cara pengajaran dalam bahasa kebangsaan. Ini merupakan satu lagi usaha yang akan membawa kita setapak lagi maju ke arah menjadikan bahasa kebangsaan suatu alat pengantar yang lengkap dan sempurna di sekolah-sekolah dan di universiti.

Tanggungjawab Yang Berat

Tugas dan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan terhadap bahasa kebangsaan di universiti ini memanglah berat, kerana tuan-tuan dan puan-puan terpaksa memikirkan soal bahasa itu dari dua sudut yang penting: pertama bangsa itu sebagai alat pengantar pengajian tinggi dan kedua bahasa itu sebagai alat untuk membentuk satu bangsa dan negara yang bersatu padu. Ilmu pengetahuan tidak akan terkorban kerana bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar di universiti ini, sekiranya kita dapat mengadakan satu rancangannya yang teratur dan tegas dari sekarang juga. Kita tidak mahu soal hendak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama di universiti ini dilaksanakan secara mahu tak mahu atau dengan tergesa-gesa bila sampai masanya kelak.

Hajat kita ialah supaya bahasa kebangsaan digunakan sebagai alat pengantar di jabatan yang difikirkan sudah boleh memulakannya, sementara itu persediaan dan rancangan yang tegas diadakan untuk menjadikan bahasa kebangsaan itu bahasa pengantar di jabatan yang lain.

___

RENCANA BERKAITAN Fungsi Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan.

Share

2 Maklum Balas

  1. syafriyana Komen:

    saya perlukan nama editor utk rujukan tugasan saya.

    Dihantar pada 14 April, 2012, 11:03 am

  2. admin Komen:

    Editor ketika artikel ini ditulis- Mohd Shukri Mohd Ariff

    Dihantar pada 16 April, 2012, 7:46 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.