Oleh FADLI AL-AKITI

Tirai gemerlapan 2010 sudahpun berlalu. Festival Filem Malaysia ke-23 juga sudah selamat dikelolakan. Dari Januari hingga Disember 2010, filem-filem Malaysia, dengan cita rasa dan tanggapan tempatan telah dihidangkan kepada penonton tempatan di seluruh negara.

Perkembangan paling positif berlaku apabila FINAS mengumumkan filem-filem tempatan yang baharu akan masuk pawagam setiap Khamis bermula tahun 2010.

Dari segi bilangan filem, tayangan filem Malaysia dilaporkan meningkat apabila lebih 30 buah filem tempatan ditayangkan berbanding 26 sahaja pada tahun 2009. Para pengkritik tentunya masih mempersoalkan kualiti majoriti filem yang termuat tayang pada tahun 2010. Persoalan kuantiti melebihi kualiti tentu akan disebut-sebut sebagai halangan dan cabaran utama yang perlu didepani oleh para pembikin filem tempatan.

Sebenarnya, pembikinan filem Malaysia sedang melalui suatu arus pembaharuan yang pasti. Walaupun fenomena ini masih bertatih setapak demi setapak kemajuannya, tetapi perubahan yang berlaku kelihatan wujud sedikit demi sedikit. Permintaan penonton, iaitu penonton filem Malaysia yang berjumlah lebih kurang 800 000 orang (kurang 10% daripada penduduk Malaysia) merupakan faktor utama yang cuba dipuaskan oleh pembikin filem tempatan. Secara umum, pembikinan filem di Malaysia masih terikat dengan sambutan penonton berjumlah 800 000 orang. Keinginan dan keperluan penonton menjadi faktor utama tema, para pelakon, bentuk dan gaya cerita dipilih oleh para pembikin tempatan.

Tidak hairanlah mengapa, filem bergenre komedi keluarga, seram, serta beberapa filem aksi dan drama keluarga yang dipilih oleh para pembikin untuk dihidangkan di layar panggung 2010.

Seperti di tahun 2009, filem komedi masih di carta paling tinggi menemui penonton pada tahun 2010. Pisau Cukur, Andartu Terlampau: 21 Hari Mencari Suami, Adnan Semp-It, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, My Spy, Semerah Cinta Stilleto, Cuti-cuti Cinta, Zoo, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senario Asam Garam, Appalam, Aku Tak Bodoh, 4 Madu, 2 Hati 1 Jiwa, Kapoww!!, Hooperz, Kecoh Betul, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, dan Woo Hoo merupakan antara filem komedi yang menjenguk pawagam 2010. Filem seram seperti Killer Clown, Niyang Rapik, Janin, Mantra, dan Damping Malam pula adalah antara filem seram yang ditayangkan.

Secara rawak, rata-rata filem Malaysia yang menemui penonton tempatan dibikin oleh pembikin muda atau anak-anak muda yang belum pernah membikin filem arus perdana. Kebangkitan beberapa pembikin muda seperti Yasmin Ahmad (Allahyarham), Amir Muhammad, James Lee, Osman Ali, Ho Yuhang, Wan Azli, Bernard Chauly, Mamat Khalid dan Saw Teong Hin pada tahun 2004, dan filem mereka telah diuji di pasaran serta memenangi beberapa anugerah festival filem tempatan dan antarabangsa, telah membuka peluang beberapa nama baru dalam persada filem untuk tampil mengambil bangku pengarah, penulis skrip, sinematografi dan beberapa disiplin filem yang lain. Metrowealth Movies Production, Tayangan Unggul, Astro Shaw, Grand Brilliance dan beberapa syarikat penerbit filem baharu telah membuka peluang emas ini.

Anak muda yang tidak pernah mempunyai kredensi dalam filem arus perdana dan datang dari latar kreatif yang amat berbeza telah merempuh panggung layar 2010. Kebanyakan mereka mungkin pernah menduduki pembelajaran filem secara formal, atau membikin iklan komersial untuk televisyen, dan tidak kurang juga pernah berbicara tentang filem. Tetapi rata-ratanya, mereka masih baru dalam pembikinan filem arus perdana di Malaysia.

Contohnya seperti Roshan Zain yang mengarah Hooperz, S. Balder Singh dan Ikhal Ideris untuk Kecoh Betul, Julian Cheah untuk Killer Clown, Din CJ untuk Andartu Terlampau: 21 Hari Mencari Suami, Aminah Raphor untuk Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Chiu Keng Guan untuk Woo Hoo, Dean A. Burhanuddin untuk Crayon, Farid Kamil untuk V3: Samseng Jalanan, Tab Kheng Seong untuk Cinta Ais Kacang (Ice Kacang Puppy Love), Zarith Lokman dan Hairie Othman untuk 2 Alam dan Jason Chong untuk Belukar. Hanya Farid Kamil, Jason Chong dan Hairie Othman merupakan “orang filem” yang pernah berlakon dan bergelumang dalam produksi filem atau telefilem. Aminah Raphor yang merupakan seorang tenaga pengajar sebuah institusi pengajian tinggi awam dan lebih dikenali dalam pengarahan teater (beliau mengarah teater kanak-kanak hebat, Siti di Alam Fantasi) telah mencuba bakatnya dalam bidang pengarahan filem.

Antara yang paling terkenal tentulah Edry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Edry KRU yang mengarah filem sulungnya, Magika. Filem terbitan KRU tersebut merupakan filem fantasi muzikal komedi yang mendapat sambutan amat baik dalam kalangan penonton dan tidak kurang juga ulasan yang baik daripada pengkritik filem. Keseragaman dan ketekalan Edry dalam mengarah filem tersebut telah mendatangkan hasil yang lumayan apabila filem yang penuh kesan khas CGI yang canggih memenangi Filem Terbaik serta enam anugerah lain pada malam penyampaian anugerah Festival Filem Malaysia ke-23. Edry turut dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik untuk filem itu.

Edry yang lebih dikenali sebagai pemuzik dalam kumpulan rap terkenal, KRU, merupakan sebuah contoh seorang anak muda yang tidak dibesarkan dalam industri perfileman tetapi dapat menjana sebuah filem popular yang disukai ramai. Hal ini memberi penanda tuju bahawa tidak semestinya seseorang yang tidak berpendidikan formal dalam filem atau menceburi bidang perfileman tidak boleh menangkap kemahuan penonton tempatan.

Magika turut menyelitkan mesej tersirat yang tersendiri jika dihubungkan dengan kebangkitan perfileman tempatan. Jika filem itu ditonton secara teliti, penonton akan menyedari kebanyakan watak sampingan adalah golongan tua yang menghadapi maut atau dibunuh kerana menahan perjalanan watak muda ke destinasi mereka. “Tua” di sini bermakna “berilmu”, “berpengalaman” dan “sudah hidup lama”.

Dalam filem itu, ibu (lakonan Fauziah Ahmad Daud) kepada adik-beradik yang tersesat dalam alam Magika telah meninggal dunia. Adik-beradik itu berjaya membunuh nenek kebayan (lakonan Ziana Zain) yang memerangkap mereka, dan watak Badang (lakonan Mawi) membunuh watak Penunggu Gua (lakonan M. Nasir) dengan menolaknya ke gaung. Secara sinis, M. Nasir merupakan “mentor” kepada Mawi dalam dunia nyanyian.

Secara sengaja, Edry membenarkan pembunuhan “watak-watak tua” dibunuh oleh “watak-watak muda” (sepertimana dengan jelas, Mawi “membunuh” mahagurunya M. Nasir) supaya watak-watak muda ini berjaya dalam misi mereka. Secara tersirat, Edry sedang memperkatakan perkara yang sama berkenaan industri perfileman Malaysia.

Watak-watak muda sebenarnya mewakili suara anak muda yang ingin membawa kesegaran dan pembaharuan dalam filem Malaysia. Golongan tua atau pembikin dan penerbit filem veteran seharusnya memberi golongan muda laluan untuk bereksperimentasi dan bersuara dalam filem. Secara tidak langsung hal ini membantu, industri filem boleh berkembang.

Sebenarnya, hal ini pernah terjadi 50 tahun dahulu apabila pengusaha filem bukan Melayu telah memberi jaminan kepada P. Ramlee untuk mengarah Penarik Beca. Selepas kejayaan filem itu, beberapa lagi pengarah Melayu seperti Jamil Sulong, Hussein Haniff, Omar Rojik dan M. Amin muncul dan mengarah filem pada zaman keemasan filem Melayu. Gelombang “suara baharu” ini membawa filem-filem yang segar dan amat berjati dirikan identiti kebangsaan. Suara baharu sebeginilah yang cuba dibawa oleh Edry dan rakan-rakannya.

Kemungkinan cerita dan garapan Magika masih tidak sempurna untuk mengatakan filem sulung Edry sebagai sebuah filem yang “cinematic”. Tetapi melihat kepada Cinta Ais Kacang arahan Tan Kheng Seong, Woo Hoo arahan Chiu Keng Guan, Karaoke arahan Chris Chong dan Belukar arahan Jason Chong, para pengarah dan karya sulung mereka dapat dilihat menampilkan sekurang-kurangnya cerita yang segar, digarap dengan baik dan mempunyai ciri-ciri filem bermutu yang boleh dibanggakan. Malah, Karaoke merupakan satu-satunya filem tempatan selepas Kaki Bakar yang diberi karpet merah untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes. Filem Woo Hoo dan Cinta Ais Kacang pula merupakan filem arus perdana yang amat popular dan mempunyai teknik garapan yang begitu sempurna. Filem tersebut merupakan filem-filem yang dijadikan kayu pengukur pembikin filem lain dalam pengarahan dan teknik perfileman yang baik.

2010 turut memberi penghormatan kepada sebuah filem adaptasi novel popular, Lagenda Budak Setan yang berjaya di pasaran. Setelah Malaysia dilanda ketandusan pengadaptasian karya sastera ke filem, kemunculan Lagenda Budak Setan sedikit sebanyak membuktikan bahawa jika filem itu digarap dan dipasarkan dengan baik, filem tersebut boleh diterima orang ramai. Filem arahan Sharad Sharan tersebut juga membuka peluang yang besar untuk filem-filem adaptasi (baik daripada novel, cerpen, drama, dokumentari atau rencana) untuk muncul semula di persada perfileman tempatan setelah 30 tahun diabaikan oleh pembikin filem.

Tahun 2011 sahaja, filem Karipap-karipap Cinta, Hanyut (adaptasi daripada novel Almayer’s Folly) dan Hikayat Merong Mahawangsa akan menemui penonton tempatan. Kemunculan filem-filem adaptasi sebegini sudah tentu memeriahkan kandungan karya dan tema filem tempatan yang asyik berlegar dalam genre komedi, seram dan drama keluarga.

2010 juga menampilkan beberapa pengarah muda dan veteran yang masih menghidangkan karya filem, walaupun tema dan jalan ceritanya klise, tidak digarap dengan baik dan tidak mendapat sambutan penonton.

Syamsul Yusof seorang pengarah muda berbakat yang paling kontroversial pada tahun 2010 apabila berjaya merangkul pengarah terbaik dengan mengalahkan pengarah yang lebih senior pada malam Festival Filem Malaysia ke-23. Filemnya, Evolusi KL Drift 2 merupakan filem aksi biasa dengan lagak ngeri kereta lumba yang mendapat penilaian yang bercampur-campur daripada pengkritik filem. Pengarah yang dikenali dengan Mat Som dan Wayang, Hatta Azad Khan pula telah tersilap langkah apabila cuba mengangkat karya kritikan sosialnya dalam acuan komedi popular, Senario Asam Garam. Filem komedi tersebut tidak berjaya menandingi sambutan khalayak terhadap 4 Madu, filem komedi arahan A. Razak Mohaideen. Pengarah Azhari Mohd Zain yang pernah membawa Jin Notti dan Santau pada 2009 telah memperagakan Mantra dan Zoo. Mamat Khalid pula membawa Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Berdasarkan nama-nama pengarah yang tersebut, tidak ada pengarah yang lebih prolifik selain Ahmad Idham yang berjaya membawa Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Niyang Rapik, Adnan Semp-It, Semerah Cinta Stilletto, Cuti-cuti Cinta, dan Damping Malam ke layar panggung 2010. Filem komedinya, Adnan Semp-It menjadi filem pecah panggung utama 2010 apabila berjaya merangkul pungutan tiket lebih RM7 juta. Filem tersebut membuktikan penonton masih menyukai tema dan plot yang klise tetapi digarap dengan skrip dan struktur yang baik, disertakan dengan lakonan yang mantap oleh pelakonnya.

Tetapi filem itu turut memberi petanda bahawa kebanyakan penonton yang menonton filem Malaysia masih mementingkan hiburan daripada pengisian kandungan “sinema” dan hal-hal keintelektualan.

Penonton Malaysia masih di bawah bilangan sejuta penonton, walaupun kebanyakan filem yang ditayangkan kini berjaya merangkul lebih RM2 juta. Secara umum, Malaysia masih belum mencipta sebuah “budaya sinema” untuk filemnya walaupun filem Malaysia sudah mula memasuki pawagam setiap empat minggu sebulan.

Sekumpulan pembikin filem muda sudah bangkit mengambil cabaran untuk membawa harapan dan perkongsian cerita baharu untuk para penontonnya. Masyarakat juga harus menyahut cabaran mengisi kekosongan 200 000 penonton agar sebuah “budaya sinema” dapat dibina, lantas “penonton berbudaya” inilah yang menghala dengan lebih kritis lagi tentang bagaimana filem Malaysia sepatutnya dihasilkan pada masa hadapan.

___

RENCANA BERKAITAN Filem Seram Keempat Ahmad Idham, Siapa Peduli Dengan FFM?

Share

1 Maklum Balas

  1. Elina Sohor Komen:

    Baguslah tulisan rencana ini. Tahniah kpd penulis, menulis sesuatu yg segar ttg apa yg berlaku dlm industri seni tempatan.

    Dihantar pada 8 September, 2011, 10:37 am

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.