Oleh HASSAN AHMAD

Apabila kita belajar sesuatu bahasa, apakah yang kita pelajari sebenarnya? Biasanya, orang menganggap bahawa mempelajari bahasa bererti mempelajari sistem nahunya, iaitu cara bahasa itu membentuk perkataan dan menyusun perkataan dalam bentuk ayat, selain mempelajari sistem fonologi, bunyi dan ejaan. Oleh sebab itu banyak orang menganggap bahawa pakar bahasa ialah orang yang mahir tentang sistem nahu sesuatu bahasa.

Namun, jika seseorang pakar bahasa hanya menguasai sistem nahu dan tidak mengetahui fungsi sesuatu bahasa itu, sebenarnya dia belum mempunyai pengetahuan yang lengkap. Setiap perkataan atau ayat dalam bahasa bukan hanya merupakan struktur yang terpisah daripada alam makna, tetapi merupakan sistem komunikasi, budaya, dan pemikiran yang sangat kompleks. Inilah aspek bahasa yang menarik perhatian banyak pemikir bahasa dan bukan hanya pakar tatabahasa.

Golongan yang disebut sebagai ahli sosiolinguistik mengkaji fungsi sosial bahasa yang mengkaji bagaimana manusia tahu menggunakan bahasa yang betul dari segi adat berbahasa dengan dipengaruhi pelbagai variabel sosial dan budaya sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, dalam budaya masyarakat Melayu ada istilah yang disebut sebagai orang yang “tahu bahasa” dan “tidak tahu bahasa”.

Orang Melayu yang “tahu bahasa” bukan hanya bererti dia pandai tatabahasa Melayu; dia juga tahu “adat berbahasa”. Apabila dia berbual dengan orang yang lebih tua atau “berdarjat” dalam masyarakat, dia tidak akan menggunakan bahasa yang salah dari segi nilai budaya atau sosialnya.

Si anak misalnya, tidak akan menggunakan kata ganti nama seperti “aku”, “engkau”, “awak”, “kamu”, apatah lagi perkataan Inggeris you dan I apabila dia berbual-bual dengan ibu bapanya atau orang yang lebih tua. Si anak yang tahu adat bahasa menggunakan perkataan “saya”, “ayah”, “ibu”, atau “pak cik”, “mak cik” dan sebagainya. Ringkasnya, orang Melayu yang mengetahui bahasa, yakni tahu adat berbahasa tidak akan menggunakan kata-kata yang tidak sopan.

Inilah salah satu cara bagaimana kita dapat mengkaji budaya sesuatu bangsa berdasarkan bahasa yang mereka gunakan dalam pelbagai konteks perhubungan sosial. Pepatah Melayu ada menyatakan, “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Maksudnya, sebab menggunakan bahasa yang salah dari segi adatnya, bermacam-macam kesan buruk boleh berlaku kepada orang itu.

Bahasa juga merupakan satu set sistem pemikiran manusia. Aspek ini dikaji oleh golongan ahli psikolinguistik atau ahli linguistik kognitif. Mereka mengkaji hubungan antara sistem linguistik (tatabahasa) bahasa dengan cara manusia berfikir.

___

Datuk Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Beliau juga bekas wakil tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kolum ini diambil daripada Dewan Masyarakat Januari 2011. Kandungan kolum telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.