Oleh SARHAN SHAHIRAN

Dalam satu kejadian di Taman Taming Jaya, Balakong, pada Jun 1993, seorang penjual roti canai menegur perbuatan tidak sopan seorang lelaki yang membuang air kecil berhampiran dengan rumahnya.

Namun, tegurannya itu membawa padah. Lelaki berkenaan berang dengan teguran penjual roti canai tersebut. Tanpa diduga, lelaki berkenaan mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan ke arah penjual roti canai itu.

Penduduk berhampiran yang menyedari kejadian tersebut cuba membantu dan menghantar penjual roti itu ke Hospital Kajang. Walau bagaimanapun mangsa mati ketika dalam perjalanan – itulah salah satu jenayah tidak masuk akal yang dilakukan P. Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali, penjenayah zalim di negara ini pada awal 1990-an.

Bentong Kali tidak memerlukan alasan yang kukuh untuk membunuh seseorang. Kesalahan yang kecil sudah mencukupi untuk menamatkan riwayat orang yang tidak disukainya, dan sudah menjadi tabiatnya menembak mangsanya pada jarak dekat.

Beberapa hari selepas kejadian itu, nama Bentong Kali sekali lagi disebut-sebut terbabit dalam satu kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh ditembak dua kali di dadanya. Beberapa minit selepas kejadian pada pukul 4.00 petang itu, Bentong Kali menyerang pula seorang lelaki lain di kawasan berdekatan, namun mangsanya kali itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan.

Bentong Kali disyaki terbabit dalam kejadian ini kerana mangsa ditembak pada jarak dekat. Selain itu, bukti kelongsong peluru jenis 9 milimeter (mm), iaitu dari pistol jenis Sig Sauer buatan Jerman dipercayai digunakan oleh penjenayah kejam ini terhadap semua mangsanya. Peluru jenis yang sama juga turut ditemui dalam lapan kes pembunuhan berlainan yang berlaku sebelum itu.

Pembunuhan paling dahsyat dilakukan penjenayah yang berasal dari Bentong ini adalah kejadian menembak enam orang lelaki yang menghadiri majlis hari jadi di Taman Taming Jaya. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, tiga orang daripada mangsa menemui ajal di tempat kejadian, seorang mati setiba di Hospital Kajang, manakala dua orang lagi mangsa cedera parah.

___

Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Januari 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Share

Hantar Maklum Balas




Klik di sini untuk memasukkan gambar ke dalam komen anda.

Wawancara Dr. Haji Awang Sariyan dengan wakil Dewan Masyarakat/TV DBP

Recent Posts

Hak Cipta Terpelihara ©  2010 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.

PENAFIAN: Dewan Bahasa dan Pustaka ("DBP", "kami") tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kehilangan yang disebabkan oleh maklumat daripada laman web ini. Penggunaan Dewan Masyarakat dalam talian adalah atas risiko dan tanggungjawab pengguna sendiri. Meskipun kami berusaha untuk menerbitkan maklumat atau bahan dengan setepat dan secepat mungkin, DBP tidak membuat apa-apa pernyataan atau waranti berkenaan laman ini serta maklumat dan bahan yang terkandung di dalamnya, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk kerugian, secara langsung atau tidak langsung.