UPNM Eksklusif tetapi Inklusif

pg 6-11 isu utama July

Bahawasanya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu universiti patut ditubuhkan, menurut kuasa yang diberikan kepada baginda oleh subseksyen 6(1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, baginda membuat perintah

hendaklah ditubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai taraf universiti sebagai suatu pertubuhan perbadanan bagi maksud mengadakan, memajukan, dan mengembangkan pengajian tinggi dalam bidang pertahanan dan ketenteraan, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, sains nautika dan teknologi maritim, sains penerbangan, sains komputer dan teknologi maklumat pertahanan, bioteknologi pertahanan dan sains persenjataan, pengajian keselamatan, penyelesaian konflik, pengajian strategik, kepimpinan ketenteraan, dan bidang lain yang perlu, serta mengadakan penyelidikan dan pengumpulan dan pemajuan pengetahuan, dan penyebaran pengetahuan dalam bidang pengajian tersebut. Institusi pengajian tinggi dalam subseksyen (1) hendaklah dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Tempat terletaknya universiti tersebut ialah di Lot PT1909 (A) dan (B), Mukim Petaling, Akademi Tentera Malaysia, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.




Wira di Dasar Laut

Oleh Aninah Janang
    Hutan ditebang, bukit ditarah. Pemusnahan hutan sering menjadi perdebatan dalam kalangan banyak pihak. Banyak pencinta alam sekitar menganggap bahawa hutan itu “bernyawa” hingga mereka mengibaratkan menebang sebatang pokok bererti membunuh satu nyawa!
Ternyata hutan lebih beruntung daripada hidupan marin, khususnya terumbu karang. Kemusnahan dan pencemaran khazanah yang tersembunyi di dasar laut itu tidak “kelihatan” di hadapan mata mengakibatkan “gelora” di dasar laut tiada sesiapa yang tahu.
Sesungguhnya kebanyakan pulau di Malaysia kaya dengan hidupan marin. Malaysia dianugerahi Tuhan dengan lebih 200 buah pulau. Daripada jumlah tersebut sebanyak 42 buah pulau di seluruh negara digazetkan sebagai Taman-taman Laut oleh Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM). Taman Laut merupakan kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika bagi melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik di negara ini.
Keindahan pulau di negara ini menjadikan Malaysia berada antara 10 buah negara yang menjadi pilihan utama pelancong dari serata negara. Menurut data pelawat JTLM, sehingga tahun 2012, sebanyak 626 605 orang pelancong mengunjungi taman laut di negara ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 350 071 orang ialah pelancong tempatan dan 276 534 orang merupakan pelancong dari luar negara. Jumlah tersebut meningkat kira-kira 10 peratus berbanding dengan tahun 2011, yang hanya mencatat 584 934 orang pelancong tempatan dan luar negara.
Dari sudut ekonomi, peningkatan jumlah pelancong ke taman laut di seluruh Malaysia sudah tentu memberikan kesan yang positif terhadap ekonomi, namun dari segi
ekosistem marin, peningkatan jumlah pelancong memberikan “tekanan” khususnya terhadap terumbu karang. Pada tahun 2011, Institut Sumber Dunia dengan
kerjasama 25 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan kajian yang menunjukkan bahawa hampir 75 peratus terumbu karang di seluruh dunia sedang berhadapan dengan ancaman kemusnahan. Penelitian laporan ini dilakukan berdasarkan pengumpulan data bagi kawasan tumpuan di Australia, Caribbean, Indonesia, Malaysia, England, Amerika Syarikat, dan beberapa buah kepulauan
di serata dunia.
Terumbu karang amat penting sebagai tempat perlindungan dan tempat tinggal bagi kebanyakan spesies ikan. Terumbu karang merupakan struktur aragonit yang
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Januari 2014.



Tragedi Westgate: Konflik Berdarah di Afrika

Pada pagi Sabtu 21 September 2013, sekumpulan lelaki bersenjata api menyerbu masuk ke dalam pasar raya Mall Westgate di pinggir Bandar Nairobi, sebelum menembak bertalu-talu ke arah pelanggan pasar raya empat tingkat itu yang asyik membeli-belah untuk keperluan harian. Tembakan rambang dengan menggunakan senjata automatik serta lontaran bom ke segenap arah menyebabkan suasana yang tenang bertukar menjadi panik apabila ratusan orang awam bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada ditembak oleh kumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Kesan daripada letupan bom tangan itu menyebabkan banyak bahagian bangunan mengalami rosak teruk, termasuk lantai bangunan di tingkat dua yang runtuh dan terbakar. Kompleks membeli belah terkenal di kota Nairobi itu ditawan lebih 10 orang lelaki berpakaian preman yang bersenjatakan raifal serta M-16 selain bahan granit dalam serangan nekad yang mengejutkan semua orang.
Kejadian yang tidak disangka-sangka itu menyebabkan pasukan tentera Kenya mengepung pusat membeli belah tersebut selama tiga hari sebelum kumpulan komando menyerbu masuk dan berjaya menembak mati lima daripada 16 penyerang terbabit. Dianggarkan 67 orang terbunuh serta ratusan daripada mereka cedera parah dalam konflik yang berlangsung selama 60 jam itu apabila 61 daripada mangsa orang awam dan selebihnya anggota pengganas.
Sebaik-baik sahaja berakhir tragedi yang menggemparkan dunia itu, Presiden Kenya, Uhurru
Kenyatta, mengumumkan pengepungan terhadap pusat membeli belah Mall Westgate berakhir sebelum mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari.
Dalam ucapan yang disiarkan oleh rangkaian televisyen Kenya ke seluruh negara, beliau dengan penuh terharu mengucapkan tahniah kepada semua anggota keselamatan yang berani dan bertindak bijak dalam menangani tragedi yang menggemparkan seluruh dunia itu. Kenyataan Uhurru
Kenyatta sebagaimana disiarkan oleh rangkaian televisyen Al-Jazerra menyebut, “Segala-galanya sudah tamat. Kenya berjaya menundukkan kejahatan dan beroleh kemenangan.
Kita telah mengalahkan musuh dan menunjukkan kepada dunia apa yang telah kita capai.”
Tidak sampai 24 jam tragedi serangan di Nairobi itu, kumpulan As-Shabab yang berpangkalan di Somalia mengaku bertanggungjawab atas insiden yang berlaku.
Kumpulan militan Muslim Somalia yang bergabung di bawah panji rangkaian Al-Qaeda itu menyatakan bahawa serangan itu berpunca daripada tindak balas oleh kehadiran
tentera Kenya di negara Somalia yang menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melumpuhkan gerakan Al-Shabab khususnya di bahagian selatan Somalia yang banyak menguasai pelabuhan penting serta kawasan yang kaya dengan hasil galian di wilayah Kismayo. Sebelum ini Etiopia juga menarik kembali tentera mereka daripada menyertai tentera Pengaman PBB atas sebab yang sama, iaitu keselamatan awam.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.




DM, Fatini dan Natrah

Oleh Suria Janib
Daripada keluaran Februari hingga Mei 1989, Dewan Masyarakat (DM) “meletup” dengan isu tragedi Natrah. Natrah dikenali juga sebagai Nadra, Huberdina Maria Hertogh atau Bertha. Tugas membongkar semula isu sudah lama terpendam bukan kerja yang mudah. Ketika itu Fatini yang bertugas sebagai wartawan DM mengambil masa tiga bulan untuk melakukan penyelidikan dan penyiasatan, membongkar sekurang-kurangnya 100 ribu helai dokumen serta melibatkan perjalanan sejauh lebih 150 ribu kilometer di lima buah negara.
Semua cerita Natrah, sejak kecil, dewasa hingga akhir hayatnya, tersimpan kemas di kotak fikiran beliau. Beliau pun tidak menyangka dirinya jauh lebih mengenali Natrah daripada Natrah mengenali dirinya sendiri. Datin Sri Fatini Yaacob, penulis siri penyiasatan Natrah, punya cerita tersendiri di sebalik cerita suka duka Natrah.
“Saya tidak tahu pun tentang Natrah, kerana selepas lapan tahun rusuhan Natrah saya baru dilahirkan. Pada tahun 1970-an, dikhabarkan Natrah dikatakan cuba membunuh suaminya. Wartawan majalah DBP diminta membuat kajian. Saya dipanggil oleh Ketua Editor Bahagian Majalah ketika itu (Datuk) Johan Jaaffar untuk menggali cerita Natrah,” ceritanya.
Beliau pergi ke Arkib Negara untuk membuat penyelidikan, satu persatu helaian surat khabar terbitan 1950-an dibeleknya. Walaupun beliautidak tahu apa-apa tentang Natrah, akhirnya beliau tahu tentang semua perkara tentang Natrah selepas membuat penyelidikan termasuk di perpustakaan akhbar United Kingdom dan arkib negara Belanda.
Beliau perlu mencari latar belakang Natrah dan perlu mewawancara Natrah yang ketika itu tidak berada di Belanda, yang ada hanya bekas suami dan anak-anaknya. Jadi, beliau pulang dahulu ke Malaysia untuk menyiapkan tugasan bahan untuk siri tulisan tentang Natrah untuk bulan berikutnya. Sesudah itu beliau pergi ke Amerika Syarikat dengan membawa dua orang anak Natrah sebagai syarat untuk dapat mewawancara Natrah. Jika tidak, mereka tidak akan memberikan kerjasama dengannya.
“Oleh sebab saya dilatih dalam dunia kewartawanan,untuk bersifat profesional dan tahan lasak dari segi mentaldan jiwa, maka saya mesti mengharungi segala cabaran demi tanggungjawab untuk mendapatkan Natrah dan ceritanya,” katanya.
Pada masa itu, walaupun sudah membuat penyelidikan yang mendalam, menempuh perjalanan yang panjang, dengan terbitan siri Natrah selama empat bulan, beliau masih lagi berasa tidak puas hati. Beliau terasa ada sesuatu yang masih tertinggal.
“Walaupun sudah berjaya mendapatkan Natrah, secara peribadi saya berasa tugas saya belum selesai. Timbul persoalan dalam fikiran saya, mengapakah Natrah begitu disayangi bangsa Melayu. Sedangkan Natrah sangat benci dan takut kepada orang Melayu? Soalan ini tergantung selama 20 tahun, sehingga Natrah sendiri meninggal dunia pada 8 Julai 2009,” luahnya.
____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.



DM di Mata Johan Jaaffar

Oleh Suria Janib
Umum mengenali Dewan Masyarakat (DM) sebagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta cenderung ke arah kerajaan semasa. DM yang kini sudah meniti usia emas bermula sebagai majalah umum yang memberikan ilmu, maklumat, dan pengetahuan. Ketika DM dilahirkan pada September 1963, tidak banyak majalah yang seangkatan dengannya di pasaran. Oleh sebab itu, majalah DM kurang persaingan, lebih popular, dan bahan bacaan yang wajib dibaca oleh semua orang.
Sepanjang usia emas tersebut sudah tentu pelbagai pengalaman pahit manis yang dilalui oleh DM. DM pada awal tahun 1989 pernah mengecap puncak gemilang seperti yang diakui oleh bekas Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Datuk Johan Jaaffar. Beliau yang juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (2006 hingga 2010) mengakui pada tahun tersebut jualan DM meningkat mendadak mencecah edaran 100 ribu naskhah.
Menceritakan pengalamannya mengenali DM, Johan mengaku DM suatu ketika dahulu amat dikenali oleh hampir semua orang. Bagi mendapatkan naskhah DM, beliau terpaksa berkongsi dengan seorang rakannya.
“Ketika itu harga DM, 60 sen senaskhah. Saya berkongsi 30 sen dengan seorang rakan saya lagi untuk membeli DM sewaktu di kampung,” katanya.
Ketika DM lahir pada tahun 1963, beliau berada di sekolah darjah empat. Selang beberapa tahun selepas itu, beliau sudah pun mengenali DM. Walaupun masih di bangku sekolah rendah, baginya membaca dan memiliki DM semacam suatu keperluan. Beliau mendapatkan DM hampir setiap bulan di pekan Semerah, tidak jauh dari kampungnya.
Beliau juga mula menulis di Dewan Pelajar, satu lagi terbitan DBP dan Utusan Pelajar, terbitan Utusan Melayu ketika beliau berumur 12 tahun.
“Saya banyak membaca DM untuk membaiki bahasa saya kerana DM menjadi majalah contoh yang disunting dengan baik. Selain DM, Dewan Sastera di bawah pimpinan Usman Awang yang diterbitkan pada tahun 1971 menjadi bahan bacaan wajib saya. Inilah majalah terbitan DBP yang mencorakkan tulisan saya,” akuinya.
Menurutnya, beliau sempat berkhidmat di Unit Terjemahan dan Unit Penyelidikan DBP selama dua tahun sebelum berkhidmat di Bahagian Majalah. Beliau bermula sebagai Editor Dewan Siswa, juga sebelum itu membantu Editor Dewan Budaya. Beliau bermula di majalah sebagai Penolong Editor Dewan Budaya (terbit tahun 1979), kemudian menjadi Editor Dewan Siswa. Pada tahun 1988, beliau menjadi Ketua Pengarang majalah DBP.
Pada tahun 1990 hingga 1991, beliau menjadi Ketua Bahagian Penerbitan Umum. Ketika itu edaran DM sekitar 25 ribu hingga 35 ribu dan beliau cuba meningkatkan edaran DM dengan menyelongkar kisah kemanusiaan yang diminati ramai. Ketika menyiarkan kisah Maria Hertogh (Natrah), DM melangkah lebih jauh dengan menjejak Natrah hingga Amerika Syarikat. Berbekalkan keberanian pasukan DM termasuklah Fatini Yaacob, isu Natrah berjaya menaikkan jualan DM hingga mencecah 100 ribu edarannya.
Katanya bagi meningkatkan jualan DM perlu ada elemen yang menepati kehendak pembaca kerana pada masa ini terlalu banyak persaingan majalah di pasaran.
“Soalan yang sering saya tanya kepada editor, adakah majalah kita dibaca orang? Kedua, perlu ada penyuntingan yang baik. Prinsip penulisan saya bagi sesebuah rencana, teks tidak lebih daripada 700 patah perkataan atau satu ayat tidak lebih daripada 12 patah perkataan, serta mengikut indeks ‘Sungai Balang’,”katanya. Nama Sungai Balang diambil sempena tempat kelahiran beliau. “Kalau perkataan atau frasa itu tidak difahami oleh orang kampung saya, usah gunakan,” katanya.
____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Disember 2013.



RETROSPEKTIF DM

Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayub
Namanya menjadi sebuah naskhah yang dikagumi, dihormati dan dipercayai ramai. Kini seiring dengan usianya yang menjangkau setengah abad, “dia” bukan sahaja terus gah berada di persadanya yang tersendiri, malah masih mampu bertahan
tatkala “teman-teman” lain sudah melabuhkan tirai masing-masing. Begitulah teguhnya sebuah entiti yang juga diberi jolokan “tiang bendera” Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak awal penerbitannya.
“Dia” yang dimaksudkan ialah majalah Dewan Masyarakat (DM) yang kini sedang meniti perjalanan emas untuk menuju ke puncak yang lebih kemilau sinarnya. Tempoh 50 tahun bukan
tempoh yang singkat. Perjalanan setengah abad majalah di bawah payung DBP ini melalui pelbagai episod suka dan duka dalam usaha untuk memberikan input dan persembahan terbaik
kepada pembaca tegarnya.
Majalah yang turut diberi jolokan “mercu tanda” DBP ini terus mengorak langkah dalam
usaha untuk memberikan yang terbaik kepada pembaca setianya. Buktinya, pada tahun ini
DM sekali lagi melakukan perubahan dengan melakukan penjenamaan semula dan pembaikan
beberapa aspek yang difikirkan perlu dalam usaha untuk memantapkan isi kandungan majalah ini.
DM terus melangkah dengan penuh bergaya walaupun pada hakikatnya kebanyakan pembaca
kini mula beralih kepada media elektronik yang dengannya segala maklumat dipetik melalui hujung
jari sahaja.
Namun begitu, bagi golongan yang membesar bersama-sama dengan DM, mereka tetap setia mendapatkannya walau di mana sahaja mereka berada. Hal ini merupakan penghargaan
besar buat DM tatkala terdapat sebilangan golongan yang mula memperkecil keupayaan majalah ini.
Bagi pembaca setia, membaca bahan bacaan secara fizikal lebih terkesan di hati dan minda mereka berbanding dengan hanya merujuk laman sosial. Walaupun DM juga mempunyai laman sosialnya sendiri, golongan yang mengenali majalah ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu, tetap memilih untuk mendapatkan naskhahnya dalam bentuk fizikal setiap bulan. Mereka berasa puas apabila dapat menyentuh dan menatap majalah ini secara dekat.
Respons daripada golongan muda juga amat memuaskan selepas penjenamaan semula dilakukan pada awal tahun ini. DM sedaya upaya cuba menepis andaian pihak tertentu yang mengatakan bahawa DM hanya untuk golongan pertengahan usia dan langsung tidak mengendahkan pembaca yang lebih muda. Hasil kajian yang dilakukan menyangkal dakwaan ini sama sekali kerana DM telah berjaya menarik minat golongan muda untuk sama-sama menjadikan bahan bacaan ini sebagai pilihan mereka!

____ Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat (DM) Disember 2013.